Saturday, September 28, 2024
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Terap dakwah, erat ukhuwah belia

    Oleh Yusrin Junaidi –
     
    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JUN – Seramai 170 orang telah menghadiri Program Qiyamullail dan Pejuang Fajr ke-13 yang berlangsung di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis Madang, hari ini. 
     
    Program yang dikendalikan oleh Badan Sukarelawan Belia Da’ie dengan sokongan Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Dakwah Islamiah (PDI) itu merupakan usaha menggiatkan peranan Belia Daie sebagai pertubuhan belia yang bertanggungjawab melaksanakan dakwah dan Al’Amr bil Ma’ruf wan Nahyu ‘anil Munkar di negara ini melalui kempen Solat Subuh di samping menanamkan rasa kebersamaan dan silaturahim dalam kalangan belia dengan orang awam.
     
    Para peserta program termasuk para jemputan khas, pegawai dan kakitangan PDI dan Jabatan Hal Ehwal Masjid, ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid, Muslimah masjid, belia-belia masjid senegara dan orang persendirian.
     
    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.
     
    Program dimulakan dengan qiyamullail dan solat Fardu Subuh berjemaah yang diimamkan oleh Imam Tingkat III, Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Awang Muhammad Khaizuran Amali bin Haji Kamsani.
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Para peserta semasa menghadiri program tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    ATAS & BAWAH: Para peserta program bergambar ramai semasa mengikuti program berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Kemudian, program diteruskan dengan bacaan Surah Al-Kahfi yang dipimpin oleh Pengerusi Badan Sukarelawan Belia Daie, Awang Mohammad Najiihuddin bin Nooralizam.
     
    Manakala itu, tazkirah subuh bertajuk Peristiwa Korban: Demi Allah, Aku Sanggup! disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama di PDI, Haji Awang Muhammad Najib bin Haji Awang. 
     
    Beberapa perkara penting yang boleh diambil daripada tazkirah tersebut ialah menceritakan kronologi tentang kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang berkorban demi menunaikan perintah Allah. 
     
    Sebuah pengorbanan perlu didasari atas tiga perkara iaitu reda dengan perintah Allah dan ikhlas menunaikannya, membuat perbincangan sebelum membuat keputusan, dan bersabar dalam membuat ketaatan.
     
    Program tersebut terbahagi kepada dua sesi yang mana sesi pertama ialah Qiyamullail manakala sesi kedua ialah Pejuang Fajr yang dibukakan kepada ahli-ahli Jawatankuasa Belia Da’ie dan orang awam, yang juga disiarkan secara langsung melalui Instagram rasmi Belia Daie dan rakamannya juga boleh ditonton di laman Instagram.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda