Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 DIS – Seramai 51 orang sukarelawan terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menjalankan Program Kempen Masyarakat Peduli Halal (KMPH) di ibu negara, kelmarin.
Program anjuran UNISSA melalui badan pelajar Halalan Thayyiban Student Society (HTSS) dari Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban (PPHT) itu diadakan di Bandar Seri Begawan selaras dengan Program Bandarku Ceria.
Kempen diadakan untuk mendukung Kempen Hari Bertindak sempena Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa 2023 melalui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Program berkenaan diketuai oleh Penolong Pensyarah PPHT, Dayang Raihana Mohd Raffi.
Antara lain tujuan utama program adalah untuk menyebarkan pengetahuan mengenai halal dan haram kepada masyarakat ramai dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menerapkan pengetahuan tersebut dalam kehidupan seharian.
KMPH merangkumi pelbagai permainan yang dijalankan oleh para sukarelawan berasaskan pengetahuan halal dan haram.
Antara permainan yang dikendalikan adalah kuiz halal dan haram, permainan detektif halal dan teka-teki, yang mana permainan berkenaan sesuai untuk semua peringkat umur.
Selain itu, para sukarelawan juga menggalakkan penyertaan daripada para pengunjung BandarKu Ceria dengan aktiviti kuiz halal dan haram di mana para sukarelawan pergi ke tempat-tempat tumpuan seperti Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Taman Mahkota Jubli Emas dan Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.
Objektif program adalah untuk menerapkan konsep Quality of Education yang terdapat dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta untuk menerapkan, memupuk dan membudayakan sifat kesukarelawanan bagi pelajar UNISSA.
Nilai sukarelawan perlu dibangunkan secara holistik agar para sukarelawan lebih didedahkan dengan sifat bertanggungjawab dengan kewajipan masing-masing iaitu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.



