Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Seramai 472 orang guru, murid dan kakitangan Sekolah Nusa Laila Puteri, Jangsak/Tanjong Bunut diberikan penerangan mengenai aspek-aspek keselamatan kebakaran dalam taklimat keselamatan kebakaran, pengosongan bangunan dan tunjuk ajar tatacara mengendalikan alat-alat pemadam api dengan betul yang dikendalikan oleh Bahagian Perhubungan Awam, Cawangan Operasi F, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBP, di sini, taklimat itu diterapkan bagi pemberigaan dan meningkatkan kesedaran mengenai bahaya kebakaran kepada guru-guru, murid-murid dan kakitangan sekolah, di samping, memupuk rasa bertanggungjawab serta mengambil berat tentang aspek-aspek keselamatan kebakaran.
Latihan kebakaran dan pengosongan bangunan akan dibuat sekurang-kurangnya dua kali setahun bagi memastikan keselamatan awam. Ia juga salah satu aktiviti bagi pihak jabatan untuk mengesahkan keberkesanan prosedur yang efektif dan bersistematik membolehkan interaksi, kerjasama serta perhubungan diperkukuh di antara JBP serta pihak sekolah.
JBP menyatakan bahawa jabatan berkenaan menyediakan program-program keselamatan seperti Taklimat Keselamatan Umum Life Saver 995 dan Kursus Marsyal Bomba bagi mengetahui aspek-aspek keselamatan semasa menangani kecemasan serta mengetahui tatacara betul bagi penggunaan alat pemadam api.
Kenyataan turut menyatakan bahawa jika berlaku kecemasan, orang ramai boleh menghubungi Talian Kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.
