Sunday, December 22, 2024
21.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Terap konsep tandas bersih, wangi di sekolah

    KOTA KINABALU – Mungkin bagi sesetengah orang, tandas bersih dan selesa itu perkara biasa namun bagi para pelajar di tiga buah sekolah ini, perasaan gembira dan teruja jelas terpancar seakan mereka memperoleh hadiah yang amat bermakna.

    Akhirnya mereka dapat menggunakan tandas sekolah yang lebih baik keadaannya, hasil daripada kerja penyelenggaraan yang berjaya diselesaikan hanya dalam tempoh beberapa bulan.

    Reaksi ini dapat dilihat ketika tinjauan Bernama di sekolah berkenaan iaitu dua di bandar raya Kota Kinabalu, Sekolah Menengah Maktab Sabah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Inanam Dua, serta SK Simpang, yang terletak jauh di pedalaman Tenom, Januari lepas.

    Tinjauan itu dikelola oleh Sektor Infrastruktur dan Perolehan, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) dan rata-rata pelajar yang ditemui berasa seronok kerana dapat menggunakan tandas berwajah baharu dan tidak lagi berdepan dengan masalah berkaitan paip air, pintu tandas rosak serta bau busuk.

    JADI MOTIVASI

    Jika diamati, ada pengurusan sekolah menggunakan sepenuhnya peruntukan dengan memberi fokus kepada kefungsian tandas menerusi penambahan bilangan pintu tandas sementara tidak kurang juga yang menjadikan tandas sekolah seperti tandas hotel.

    Tandas Sekolah Menengah Maktab Sabah di Kota Kinabalu berwajah baharu selepas kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan dilaksanakan. – Bernama
    Gambar Bernama

    Sekolah berkenaan menerapkan konsep Bersih, Menarik dan Wangi agar ia memberi persekitaran tandas yang kondusif dan selesa kepada pelajar. Ini termasuk menggunakan jubin berwarna cerah dengan pencahayaan lebih baik ditambah hiasan bingkai gambar dan pokok hiasan, selain pewangi di setiap ruangan tandas.

    Apa yang menarik perhatian bukan hanya hasil kerja penyelenggaraan, tetapi semangat dan motivasi setiap pelajar untuk memikul tanggungjawab menjaga kebersihan bagi mengekal-kan keceriaan tandas sekolah mereka.

    Secara keseluruhannya, projek penyelenggaraan tandas sekolah melibatkan kerja-kerja membaik pulih tandas bagi 8,354 sekolah di seluruh Malaysia dengan peruntukan RM630.77 juta bermula pertengahan Julai 2023.

    Ia selaras dengan aspirasi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu kemudahan tandas bersih dan selamat untuk keselesaan lebih lima juta pelajar dan 409,161 guru di negara itu.

    Ketika membentangkan Belanjawan 2024 bertemakan Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat pada Oktober 2023, Perdana Menteri berkata, tidak boleh diterima akal selama ini anak-anak dibiarkan mengharungi alam persekolahan dengan kemudahan asas khususnya tandas rosak dan uzur.

    Beliau memberi jaminan untuk meneliti dan mempercepat usaha menyelesaikan masalah tandas sekolah demi kesejahteraan pelajar, lebih-lebih lagi, selepas seorang murid berusia sembilan tahun bernama Maryam menulis surat kepada beliau menceritakan keadaan tandas di sekolahnya.

    KAYU UKUR

    Kerja menyelenggara kerosakan kemudahan tandas di tiga sekolah itu menunjukkan ia mampu disiapkan segera tanpa sebarang kelewatan dan Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, kejayaan itu boleh menjadi kayu ukur terutama dalam konteks membaik pulih bangunan sekolah daif di negeri itu.

    Untuk itu, Raisin mahu setiap kerja membaik pulih bangunan sekolah daif di Sabah ketika ini disiapkan mengikut jadual ditetapkan supaya setiap masalah kekurangan prasarana dapat diselesaikan secara cekap.

    “Prasarana sekolah yang baik penting untuk persekitaran berkualiti kepada pelajar dan sekolah sebagai asas kepada pembangunan modal insan seimbang daripada segi jasmani, emosi, rohani, sahsiah dan intelek,” katanya kepada Bernama.

    Menurut Raisin, JPNS bertekad membina landskap baharu pendidikan di bawah Pelan Strategik Hala Tuju Sepakat Sabah Hebat dengan sembilan fokus dikenal pasti untuk dicapai dan diselesaikan.

    Perancangan infrastruktur pembangunan dan perolehan menjadi antara fokus utama agar peruntukan disalurkan bagi menjalankan projek penyelenggaraan dan dibelanjakan secara optimum untuk memastikan sasaran JPNS ke arah sifar sekolah daif di Sabah menjelang 2029 tercapai.

    Justeru, beliau mengingatkan pegawai-pegawai JPNS dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) agar segala peruntukan kepada Sabah digunakan segera bagi memastikan faedahnya dapat dinikmati pelajar pada tahun semasa.

    JPNS, katanya, sentiasa mengenal pasti bangunan sekolah daif dan dalam masa sama memastikan kerja penyelenggaraan dijalankan di setiap sekolah yang belum lagi masuk dalam kategori skala enam atau tujuh, bagi menjamin keselamatan dan memanjangkan hayat bangunan sedia ada.

    (Skala 6 merujuk kepada bangunan yang tidak selamat dengan pengesahan dilakukan oleh PPD dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) manakala skala 7 merujuk kepada bangunan tidak selamat dengan pengesahan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

    Berdasarkan data dimaklumkan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada April lepas, sebanyak 218 daripada 338 projek pembinaan semula sekolah daif diselesaikan di Sabah sehingga kini. Angka itu menyaksikan penurunan ketara berbanding 414 sekolah dikesan pada skala enam dan tujuh yang dimulakan secara komprehensif pada tahun 2020. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda