Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) mempunyai perancangan untuk meningkatkan taraf kualiti perkhidmatan termasuk restoran-restoran di hotel dan tempat-tempat yang sering dikunjungi pelancong menerusi penerapan nilai-nilai Melayu Islam Beraja.
Ia meliputi cara melayan tetamu ke rumah dengan mengucapkan selamat datang, menjemput mereka masuk ke rumah dengan layanan baik, menghormati tetamu dan setelah mereka pulang, harus mengucapkan terima kasih dan mungkin akan dihantar ke pintu untuk memastikan bahawa mereka selamat meninggalkan tempat kita serta mengajak mereka kembali lagi.
“Kita harus menggunakan tradisi kita yang baik itu, untuk menjadikan kita destinasi pelancong yang orang akan kenang buat selama-lamanya dan menggalakkan mereka kembali lagi,” jelas Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong dalam temu bual bersama Media Permata semasa lawatan kerja ke tarikan pelancong Daerah Tutong, hari ini.
Seperti yang dimaklumi, sejak Mac lalu, Negara Brunei Darussalam telah melaksanakan larangan kemasukan pelancong dari luar negara dalam usaha untuk menangani penularan dan mengawal wabak COVID-19.
Dalam pada itu, Yang Berhormat Dato menerangkan bahawa pihaknya telah meneliti beberapa buah lokasi pelancongan di seluruh negara di keempat-empat daerah untuk memastikan destinasi-destinasi pelancongan berkenaan adalah lebih selamat, bersih dan selesa bagi orang ramai serta pengunjung untuk menggunakan apabila pelancong kembali ke Brunei.

Beliau menerangkan bahawa beberapa isu telah dikenal pasti untuk diperbaiki dan untuk ditingkatkan tahap keselamatannya seperti jeti di sungai-sungai dan kebersihan di beberapa lokasi dengan mereka yang memberikan perkhidmatan di lokasi berkenaan akan dimaklumkan dan diberikan masa untuk meningkatkannya sebelum kedatangan pelancong nanti.
Yang Berhormat Dato seterusnya menerangkan bahawa lawatan kerja ke beberapa tempat tarikan pelancong di Daerah Tutong itu bermatlamat untuk meninjau dengan lebih dekat potensi dalam bidang pelancongan bagi daerah berkenaan termasuk meninjau kawasan di Sungai Tutong.
Beliau menerangkan bahawa terdapat pihak sektor swasta yang membuat cadangan untuk membangunkan kawasan komersial dengan mengekalkan konsep ekopelancongan.
Perancangan berkenaan akan terus diteliti dan dihalusi di mana jika ia betul-betul dapat direalisasikan serta akan dibantu oleh pihaknya.
Lawatan kerja berkenaan, jelas Yang Berhormat Dato, juga melawat ke hotel yang terkemuka di Daerah Tutong iaitu Hotel Lanes, di mana ia mempunyai kadar penghunian yang tinggi iaitu 60 peratus kerana ia mempunyai pelanggan yang menghuni untuk jangka panjang.
Lawatan berkenaan, tambahnya, juga memberikan keutamaan kepada aspek keselamatan, keselesaan dan kebersihan supaya ia dapat menarik pelancong dari dalam mahupun dari luar negara untuk menggunakan kemudahan berkenaan.