Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JULAI – Seramai 55 orang pelajar terdiri daripada ahli-ahli Pasukan Sukarelawan Institusi Pendidikan (PSIP) dari 10 buah sekolah menengah kerajaan dan Pusat Tingkatan Enam (PTE) telah menyertai Bengkel Kerja Berpasukan yang berakhir dengan majlis penutup dan penyampaian sijil, hari ini.
Majlis penutup bengkel dua hari anjuran Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Beruniform dan Perkhidmatan, Jabatan Pendidikan Kokurikulum itu berlangsung di Dewan Serba guna Pusat Pembe-lajaran Sepanjang Hayat (L3), Kementerian Pendidikan.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan hadiah dan sijil kepada para peserta bengkel ialah Pemangku Pengarah di Jabatan Pendidikan Kokurikulum Kementerian Pendidikan, Awang Julaihi bin Mohamad @Mohamat.
Turut hadir ialah Pemangku Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Hajah Rosediana binti Haji Hidop.
Majlis menyaksikan Pasukan Bombastic 5 diumumkan sebagai pemenang yang mendapat penilaian tertinggi dalam bengkel tersebut diikuti dengan pasukan The Achievers dan pasukan Wazneh yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Antara tujuan bengkel berkenaan adalah untuk memupuk semangat kerjasama yang kukuh dan berkomunikasi dengan baik secara berpasukan.
Ia juga diadakan untuk menerapkan semangat sukarelawan di samping mewujudkan peluang berinteraksi bagi mengatasi cabaran yang dihadapi dengan membuat keputusan secara berpasukan.