KUALA LUMPUR, 14 MEI – Masalah keluarga yang kerap kali mencetuskan pertengkaran antara ibu dan ayah, ditambah kerenggangan hubungan dengan ibu, boleh membuatkan anak belasan tahun mengalami kemurungan yang teruk.
Antara kesannya adalah menjadi pendiam, kerap menangis selain berasakan diri tidak berguna yang kemuncaknya sanggup mencederakan diri sendiri dengan mengelar pergelangan tangan.
Kes sedemikan adalah antara yang dikendalikan oleh Pakar Perunding Psikiatri dan Pensyarah Perubatan Kanan Klinik Psikiatri Kanak-Kanak & Remaja, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah Universiti Putra Malaysia, Dr Ruziana Masiran.
Berkongsi kisah itu dengan Bernama, beliau berkata kini, selepas mangsa mengikuti enam sesi terapi keluarga bersama-sama dengan ibunya, mereka mula belajar cara berkomunikasi dengan lebih terbuka dan saling memahami.
“Di peringkat awal, dia memerlukan ubat-ubatan, namun kini tidak lagi. Sekarang remaja itu hanya mengikuti sesi janji temu susulan di klinik,” kata Dr Ruziana ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Dr Ruziana, jika dibandingkan remaja zaman dahulu dan sekarang, terdapat fenomena unik yang menyebabkan para remaja masa kini lebih cenderung mengalami masalah kesihatan mental.
“Apabila melihat kesan pascapandemik COVID-19, tidak dapat kita nafikan kewujudan isu kesihatan mental remaja. Pengasingan diri semasa fasa perintah berkurung, penutupan sekolah dan tekanan kewangan keluarga boleh mencetuskan isu kesihatan mental yang berlarutan hingga hari ini. Proses pengasingan ini juga telah mengakibatkan mereka terlepas fasa perkembangan sosial yang amat kritikal dalam kehidupan seorang remaja,” katanya.
Media digital dan sosial merupakan pengaruh utama dalam kehidupan kelompok itu, mengheret mereka untuk sentiasa saling berhubung tanpa sempadan masa dan tempat, seterusnya membawa kepada kebimbangan ‘takut terlepas’ ataupun “fear of missing out” (FOMO) serta buli siber.
“Remaja yang selalu melihat skrin yang berlebihan akan menjejaskan kualiti tidur, selain sering membandingkan diri dengan orang lain yang seterusnya berisiko merendahkan harga diri serta imej penampilan dan bentuk tubuh badan. Gaya hidup digital sebegini mengehadkan interaksi sosial kehidupan sebenar yang penting untuk perkembangan emosi remaja,” katanya.

Dr Ruziana berkata terdapat beberapa penyebab masalah kesihatan mental di kalangan remaja termasuk faktor biologi, kerana di peringkat remaja otak masih belum cukup matang, terutamanya di bahagian korteks prefrontal yang berkaitan dengan kawalan emosi dan membuat keputusan.
“Selain itu, dari sudut sosial, remaja melalui pelbagai cabaran kehidupan seharian sama ada di rumah atau di sekolah. Di sekolah mereka menghadapi tekanan akademik, peperiksaan, keletihan dan perbandingan dengan rakan sebaya. Ada sebahagian remaja yang menjadi mangsa buli secara fizikal ataupun emosi.
“Dari segi kekeluargaan, kekurangan sokongan emosi atau komunikasi yang lemah dengan ibu bapa dan keluarga menjadi penyumbang besar kepada kelemahan mental dan emosi remaja. Ramai remaja yang mengalami tanda-tanda kemurungan atau kebimbangan akibat masalah keluarga seperto penceraian, penderaan dan pengabaitan,” katanya.
“Kajian mendapati satu daripada empat remaja berumur 13 hingga 17 tahun dilaporkan mengalami simptom kemurungan, kebimbangan atau tekanan. Remaja yang berasa rendah harga diri mempunyai kawalan emosi yang lemah, mangsa buli (bersemuka atau dalam talian), ada masalah pembelajaran, menghidap penyakit kronik atau kecacatan fizikal lebih berisiko,” katanya.

Manakala, “ibu bapa yang tidak stabil emosi, murung, cemas atau agresif boleh menjejaskan perkembangan emosi anak. Remaja yang tidak berasa selamat di rumah tidak akan sudi berkongsi masalah dengan ibu bapa atau ahli keluarga lain, menyebabkan mereka lebih cenderung memendam perasaan, berasa sunyi dan putus asa.
“Dari segi ekonomi, terdapat kajian menunjukkan bahawa keluarga berpendapatan rendah tiada akses yang baik kepada penjagaan kesihatan mental. Tahap pendidikan ibu bapa yang rendah juga dikaitkan dengan kurangnya kesedaran tentang keperluan emosi dan komunikasi dalam kalangan ahli keluarga,” katanya, menambah masalah kesihatan mental didapati lebih tinggi dalam kalangan remaja perempuan.
Selain itu kata Dr Ruziana, faktor persekitaran turut memainkan peranan dengan remaja yang tinggal di kawasan bandar didapati lebih berisiko mengalami tekanan emosi disebabkan oleh tuntutan akademik yang lebih berat, pendedahan kepada skrin dan media sosial yang lebih tinggi selain kurangnya aktiviti fizikal.
Kebiasaannya seseorang pesakit mental bergantung pada ubat-ubatan untuk merawat penyakit mereka, termasuk golongan remaja. Namun Dr Ruziana berpendapat sudah tiba masa kebergantungan pada ubat itu dikurangkan dan rawatan psikiatri harus libatkan pendekatan yang komprehensif dan menyentuh seluruh kehidupan seseorang pesakit.
“Pakar psikiatri akan melihat aspek lain yang penting dalam kehidupan remaja seperti cara ibu bapa mendidik, hubungan dalam keluarga dan suasana di sekolah. Melalui beberapa sesi terapi keluarga, ibu bapa mula memahami tekanan yang anak mereka hadapi dan hubungan mereka menjadi lebih rapat, menunjukkan bahawa kerjasama dalam keluarga boleh selesaikan banyak masalah secara harmoni tanpa bergantung sepenuhnya pada ubat,” katanya.
Beliau berkata terapi keluarga memainkan peranan penting dalam membantu remaja mengatasi masalah mental kerana pendekatan itu melibatkan seluruh keluarga dalam satu sesi untuk memahami dan menyokong remaja tersebut.
“Walaupun hanya seorang anak remaja yang mengalami tanda-tanda penyakit mental – selalunya kemurungan – kebimbangan atau kemarahan remaja ini biasanya berkait rapat dengan tekanan di rumah, salah komunikasi atau konflik keluarga.
“Dalam terapi keluarga, setiap ahli keluarga memiliki peluang belajar untuk mendengar dengan lebih baik, meluahkan perasaan dengan cara yang lebih sihat dan menyelesaikan masalah sebagai satu pasukan. Pendekatan ini juga membantu ibu bapa atau adik-beradik remaja berkenaan memahami apa yang dialaminya,” kata beliau.
Berhubung bentuk terapi kekeluargaan, Dr Ruziana berkata sesi berkenaan dijalankan antara enam dan 12 sesi dengan kekerapan setiap satu atau dua minggu.
“Terapi biasanya sesi bermula dengan pengenalan diikuti dengan penilaian, intervensi dan ia akan ditamatkan apabila perubahan positif berlaku. Yang paling ideal ialah apabila sesi dihadiri oleh semua ahli keluarga dan mungkin memerlukan lebih banyak sesi. Dalam sesi ini, keluarga belajar kaedah berkomunikasi dengan lebih baik, menyokong antara satu sama lain dan menangani tekanan secara bersama.
Matlamat utama sesi terapi keluarga ialah untuk menguatkan hubungan kekeluargaan dan mewujudkan suasana rumah yang lebih harmoni,” katanya.

“Apabila kita membantu seorang anak, kita tidak boleh mengabaikan faktor-faktor lain di rumah mereka termasuk peranan ibu bapa, cara mereka berkomunikasi, memarahi, menyayangi serta cara remaja itu diberi perhatian,” katanya yang berharap lebih ramai pakar terapi keluarga dilahirkan. – Bernama