Terapi seni penawar kesunyian

THESSALONIKI, GREECE – Dikelilingi oleh tin-tin cat dan kanvas dalam studionya yang kecil di bandar Greece Thessaloniki, Richard Lusakumunu rasa dia telah menamatkan fasa ‘metamorfosis’ daripada seorang pelarian kepada artis.

“Seni bermakna perintegrasian, keterangkuman, menghapus kesunyian dan hidup sama seperti semua orang lain,” kata Lusakumunu, yang mendapat perlindungan pada tahun 2017 dan juga seorang yang aktif sebagai pencungkil bakat.

Dua tahun lalu, pemuda warga Congo itu menghasilkan ‘Mazi’ (bahasa Greece untuk ‘bersama’), satu kesatuan kolektif seni yang mengumpul bersama 11 pelarian dan artis Greece yang tinggal di bandar kedua Greece.

Kesatuan kolektif itu disokong oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian, pertubuhan NAOMI dan Institut Perancis di Thessaloniki.

Ia telah pun mengadakan dua pameran di institut berkenaan dan merancang menganjurkan pameran ketiga pada 14 September, kali ini bersama kira-kira 30 artis.

Richard Lusakumunu mengajar teknik melukis kepada seorang pelarian di bengkel kem pelarian Diavata, berhampiran Thessaloniki. – AFP
Lusakumunu semasa menyusun lukisan di bengkel kem pelarian Diavata. – AFP
Richard Lusakumunu melihat pada lukisan tatkala dia mempamerkannya di atas meja di kem pelarian Diavata, Thessaloniki. – AFP

“Matlamatnya adalah menjadikan mereka menonjol, menjadikan kami menonjol, terpulanglah kepada kami untuk menyebarkannya ke dunia,” kata pemuda berusia 26 tahun itu, diberi nama gelaran ‘Laksamana Lusaks’ oleh anggota kesatuan kolektif.

“Kami tidak bercakap bahasa yang sama, lukisan yang menyatukan kami,” beritahu Lisakumunu, yang menandatangani lukisannya sebagai Lusaks, kepada AFP.

Senilah yang menjadikannya sangat penting untuk Lusakumunu melarikan diri dari ibu negara Republik Demokratik Congo, Kinshasa, pada awal tahun 2017.

Anak lelaki artis grafik, Lusakumunu, seorang pelajar lepasan Akademi Seni Halus Kinshasa, menganjurkan pameran mengenai masa depan orang muda suram yang dianggap kritikal dalam rejim Presiden Joseph Kabila.

Atas sebab-sebab ini, dan juga sebab lain yang tidak ingin dibicaranya, ‘kami terpaksa melarikan diri,’ kata beliau.

Beliau sampai ke pulau Greece Samos dengan bot boleh kembung selepas melalui Brazzaville di Congo dan Turki.

Lusakumunu, yang berharap untuk menetap di Perancis pada satu hari nanti, berkata ‘terdapat bakat terpendam’ di kalangan ribuan pencari suaka di Greece.

Setelah menerima status suaka dan tiba di Thessaloniki pada 2018, beliau secara suka rela memberikan kursus melukis di kem pendatang terdekat, Diavata, untuk membantu mencungkil bakat artis lain.

Salah seorang pemuda dalam ke-satuan kolektif Mazi, Jaamel Khan, dari Afghanistan, tidak pernah melukis sebelum ini, katanya.

“Namun berdepan dengan kesepian dalam kem, dia mula menconteng-conteng dan dia adalah seorang artis yang hebat,” jelas Lusakumunu.

Ditemui oleh kementerian kebudayaan Greece, artis Congo itu merupakan ‘pendorong untuk membantu orang lain menyesuaikan diri,” beritahu ketua pejabat konsul Perancis, Philippe Ray kepada AFP.

Di kem Diavata, Lusakumunu dengan sabar menunjukkan sekumpulan budak perempuan dan wanita – berusia di antara 10 dan 20 tahun – di mana meletakkan coretan berus seterusnya pada lukisan mereka

“Saya cuba mengeluarkan segala kekusutan atau masalah dalam diri mereka, membuat mereka rasa selesa dan menggalak mereka supaya meluahkan masalah mereka dalam lukisan,” kata beliau.

Pada asasnya, ia adalah ‘terapi seni’, tambah beliau.

“Dalam kem, anda bertemu dengan orang yang mahu kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Pada Januari 2022, beliau berharap dapat menganjur satu pameran artis dari pulau Aegean.

Lusakumunu yakin terdapatnya ‘banyak bakat’ dalam kem penuh sesak di Lesbos dan Samos.

Salah satu lukisannya – yang dijual – bertajuk ‘Metamorfosis’, kanvas hijau dan oren seekor ulat bulu bertukar menjadi seekor rama-rama, yang dilukisnya sejurus selepas tiba di Thessaloniki.

Selain melukis, Lusakumunu bekerja secara sambilan di hotel untuk membolehkannya menyewa sebuah pangsapuri kecil.

“Dalam kesemua ciptaan kami, hanya terdapat satu perkara umum, ia adalah satu perjalanan, kami cuba bercakap mengenai masa lampau kami,” katanya. – AFP