Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JUN – Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2025 membawa tema, Keselamatan Makanan: Sains Beraksi, bertujuan untuk mengingatkan kita mengenai peranan penting yang dimainkan oleh sains dalam keselamatan makanan, membantu kita memahami risiko-risiko dan mengenal pasti ancaman-ancaman dalam rantaian bekalan makanan, bagi membolehkan penggubalan strategi-strategi untuk mengatasinya.
“Bagi setiap makanan yang kita makan setiap hari, pelbagai inovasi dan penyelidikan yang teliti telah dilakukan – dari ladang sehingga ke pinggan kita – untuk memastikan makanan kita selamat untuk dimakan.”
Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Autoriti Makanan Brunei Darussalam (BDFA) dalam mesejnya sempena Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2025.
Dalam mesejnya lagi, beliau menyatakan bahawa sains membantu kita mengesan bahan-bahan pencemar, memperbaiki amalan perladangan dan bertindak balas terhadap risiko-risiko baharu sebelum ia sampai kepada kita.
Di sebalik setiap pemeriksaan, piawaian dan dasar, tambahnya, terdapat ramai ahli profesional yang menggunakan segala bahan bukti, teknologi serta kreativiti untuk memberikan perlindungan kepada kita.


“Di seluruh dunia, makanan yang tidak selamat terus menjadi penyebab pelbagai jenis penyakit dan malah kematian, terutamanya di kalangan mereka yang berisiko tinggi.
“Hari Keselamatan Makanan Sedunia ini merupakan satu peringatan bahawa memastikan setiap makanan selamat untuk dimakan adalah satu tanggungjawab yang dipikul bersama oleh setiap orang, dan sains memberikan kita alat untuk bertindak di mana melalui ujian, pemantauan, pendidikan, dan peraturan yang lebih baik, kita akan dapat memastikan makanan kita selamat untuk dimakan.”
Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina dalam mesej berkenaan seterusnya menyatakan setiap orang yang terlibat di dalam industri makanan iaitu sama ada para petani, pengimport makanan, pengeluar makanan, pengendali perniagaan makanan, pengawal selia dan institusi pendidikan, perlu bekerjasama untuk menjadikan pengetahuan saintifik sebagai penyelesaian praktikal dengan mendukung penyelidikan, membina sistem kawalan makanan yang kukuh dan memperkasa orang ramai untuk membuat pilihan makanan yang selamat.
“Selain itu, kita juga perlu menyantuni ketelusan dengan menjelaskan kepada para pengguna tentang langkah-langkah yang telah kita ambil untuk melindungi mereka, melabur ke arah pencegahan dengan menggunakan teknologi canggih bagi pengesanan awal risiko-risiko terhadap makanan, memberikan latihan dan melengkapi para pekerja dengan pengetahuan keselamatan makanan yang terkini, saling bekerjasama untuk menangani cabaran-cabaran yang baru muncul, seperti kesan perubahan iklim atau bahan-bahan pencemar yang baharu serta mendengar maklum balas daripada pengguna kerana keselamatan makanan bukanlah sesuatu yang statik, ia bahkan berkembang mengikut keperluan kita dari semasa ke semasa.”
Para pengguna juga mempunyai peranan dalam keselamatan makanan, tekan Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina di mana mereka harus sentiasa beringat, kekal bermaklumat dan amalkan tatacara pengendalian makanan yang baik di rumah.
“Langkah-langkah mudah, seperti mencuci tangan, menyimpan makanan dengan betul, atau membaca label, memberikan manfaat yang besar kepada semua.
“Berikan dorongan kepada para peniaga yang mengutamakan keselamatan kerana apabila kita memilih untuk mendapatkan produk yang lebih baik, kita akan dapat yang lebih baik.
“Bilamana kita semua mengambil serius tentang keselamatan makanan, kita akan saling melindungi di antara satu sama lain.”
Beliau seterusnya menyeru kita untuk meraikan kemajuan yang telah kita capai dan menguatkan tekad untuk membuat yang lebih baik.
“Kerana makanan yang selamat bukanlah satu keistimewaan – ia adalah satu hak. Kita perlu komited untuk menjadikan keselamatan makanan jelas, boleh diakses, dan boleh dilakukan oleh semua orang – sama ada ketika memasak untuk keluarga, selaku penjaja di gerai atau pasar, sebagai seorang penjual makanan yang beroperasi dari rumah atau seorang tukang masak di restoran.”
Beliau menambah, apabila kita memahami sebab di sebalik keselamatan makanan, kita akan membuat pilihan-pilihan yang lebih baik.
“Marilah kita berikan penghormatan dan penghargaan kepada para saintis, pegawai pemeriksa, petani, pengimport makanan, pengeluar makanan dan pengendali makanan yang sentiasa menjadikan pengetahuan sebagai keselamatan untuk kita semua.”
Mereka bekerja bertungkus lumus untuk memastikan bekalan makanan kita selamat dan masyarakat kita terus sihat, tambah beliau lagi.
“Terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan dalam menjalankan tugas yang sangat penting ini dan menjadi sebahagian daripada usaha ini.
“Kekal dalam keselamatan, kekal bermaklumat dan marilah kita terus beringat-ingat di antara satu sama lain.
“Setiap langkah, apabila berpandukan kepada sains, menjadikan makanan kita lebih selamat.” jelasnya.

