Thursday, March 13, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Terapkan konsep pembangunan bercampur, wujud persekitaran mampan

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MAC – Pembangunan tanah bercampur untuk pembangunan mampan dan pertumbuhan ekonomi tempatan diketengahkan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid ketika menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Chong Chin Yee semasa Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) pagi tadi.

    Yang Berhormat Dato berkata konsep pembangunan tanah secara bercampur dikenal pasti sebagai salah satu strategi guna tanah optimum yang inklusif dalam rancangan pembangunan daerah dan pelan setempat.

    Beberapa kawasan sudah menerapkan konsep pembangunan bercampur sebagai contoh Kiulap, Gadong dan Batu Satu di mana terdapat premis perniagaan, perumahan, institusi serta kemudahan awam dalam lingkungan berdekatan.

    Matlamatnya adalah untuk mewujudkan persekitaran yang mampan dan inklusif di mana para penduduk boleh bekerja, beriadah dan mendapatkan perkhidmatan di tempat yang sama.

    Di samping itu, perusahaan tempatan juga mendapat manfaat daripada peningkatan aktiviti ekonomi setempat.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda menjawab soalan yang dibangkitkan semasa Persidangan MMN kelmarin. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Menyentuh mengenai sudut ekonomi perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), Yang Berhormat Dato berkata pembangunan bercampur menyediakan peluang dan ruang perniagaan yang lebih dekat dengan masyarakat setempat, sekali gus mendorong lagi pertumbuhan perniagaan kecil.

    Kerajaan menyokong konsep ini melalui dasar perancangan dan penyediaan zon khusus untuk kegiatan komersial dan perusahaan.

    Dengan ini, Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) telah mengenal pasti zon-zon perniagaan dan perindustrian tertentu bagi menggalakkan perkembangan PMKS, termasuk tapak-tapak perindustrian di bawah kelolaan agensi seperti Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB).

    Contoh tapak industri yang disediakan ialah di Tanjong Kajar, Mumong dan Sungai Bera.

    Kawasan-kawasan ini dilengkapi infrastruktur asas untuk membolehkan usahawan tempatan menjalankan perusahaan mereka.

    Pada masa yang sama, ke arah memperkasa perancangan bandar agar lebih berimpak, antara inisiatif terbaharu yang telah dilaksanakan JPBD ialah Pelan Induk Pejalan Kaki.

    Pelan induk ini memfokuskan pembentukan rangkaian laluan pejalan kaki mesra pengguna di kawasan komersial utama.

    Secara keseluruhannya, Pelan Induk Pejalan Kaki merangkumi jaringan dari kawasan perniagaan Jaya Setia hingga ke pusat Bandar Seri Begawan, bertujuan menjadikan kawasan bercampur lebih mudah diakses pejalan kaki dan menggalakkan budaya berjalan kaki.

    Usaha awal telah dimulakan dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk meningkatkan connectivity pejalan kaki di sekitar Kompleks Bangunan Kerajaan, Lapangan Terbang Lama Berakas dan akan diperluaskan ke kawasan komersial lain seperti Jaya Setia.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda