Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JULAI – Bersempena dengan Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-78, Kementerian Pendidikan kelmarin telah mengadakan Peringkat Akhir Pertandingan Sketsa Kata-Kata Pantang Larang Orang Tua-Tua Bagi Sekolah-Sekolah Rendah Senegara Tahun 2024 yang berlangsung di Pentas Perayaan berhadapan Muzium Alat Kebesaran Diraja.
Muncul johan pertandingan ialah Pasukan Sekolah Rendah Dato Ratna Haji Muhammad Jaafar, diikuti dengan Pasukan Sekolah Rendah Masin di tempat kedua dan Pasukan Sekolah Rendah Perpindahan Bukit Beruang 2 di tempat ketiga.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/07/sketsa-1.jpg)
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/07/sketsa-5.jpg)
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian hadiah-hadiah kepada para pemenang ialah Awang Ali Hamdani bin Haji Md Diah, Pengarah Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan.
Pertandingan yang dibukakan kepada pelajar-pelajar sekolah rendah kerajaan dan swasta senegara ini disertai oleh 25 pasukan, di mana 5 buah pasukan telah berjaya ke peringkat akhir.
Sebahagian dari aksi peserta- peserta dalam pertandingan berkenaan. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
Antara objektif pertandingan ini adalah untuk memberikan pendedahan dan mengetengahkan bakat para pelajar dalam seni lakonan, meningkatkan kesedaran mengenai makna di sebalik pantang larang kepada para pelajar dan seterusnya meningkatkan keyakinan mereka dalam berucap di hadapan umum semasa di atas pentas serta bekerja sebagai satu pasukan.
Pertandingan ini juga bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pelajar dalam bercerita dan berlakon serta memupuk minat pelajar terhadap bahasa dan sastera Melayu, di samping menerapkan nilai murni melalui pantang larang.
Pertandingan ini dianjurkan bersama oleh Bahagian Kesenian dan Kreativiti, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan dan Pejabat Sekretariat, Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja.