Terapkan ‘Ziarah Terdidik’ dalam Aidilfitri 2020

KUALA LUMPUR – Semakin hampir lebaran, semakin kuat jugalah perasaan untuk “Balik Kampung”, tradisi yang sudah sinonim dengan amalan beraya warga kota.

Ada yang menyimpan cuti tahun semata-mata supaya dapat menghabiskan masa lebih lama di kampung beraya bersama emak dan ayah juga sanak saudara yang sekian lama tidak bersua.

Bertambah meriah suasana dengan lagu ‘Balik Kampung’ dendangan penyanyi tersohor, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad. Bagaikan tidak lengkap juga suasana menjelang lebaran sekiranya lagu berentak rancak ini tidak diputarkan oleh stesen radio dan televisyen. Namun, tahun ini, ‘Balik Kampung’ perlu ditangguhkan dahulu.

Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas Ahad lepas dengan rendah diri memohon kemaafan daripada rakyat Malaysia apabila mengumumkan ‘pulang ke kampung merentas sempadan negeri untuk berhari raya tahun ini adalah tidak dibenarkan sama sekali.”

Ia berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan sehingga 9 Jun, sebagai langkah untuk memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.

Penjawat Awam, Nur Firdaus Abdul Rahim (berdiri, kanan) bergambar bersama keluarga pada Hari Raya tahun lalu menganggap ziarah Hari Raya Aidilfitri tahun ini sebagai ‘ziarah terdidik yang sedikit sebanyak mampu mengubati kerinduan kepada ibu ayahnya yang berada di Perak. – Bernama
Kelihatan aliran trafik di Plaza Tol Gombak menghala Karak sesak ekoran sekatan jalan raya di plaza tol seluruh negara untuk mengelakkan perjalanan rentas negeri menjelang sambutan Aidilfitri. – Bernama
Tuan rumah boleh melaksanakan penjarakan sosial dengan mempratikkan amalan yang diadaptasi oleh kebanyakan pusat membeli-belah atau mana-mana syarikat seperti menjarakan kedudukan tempat duduk. – Bernama

Biarpun demikian, sepertimana perutusan khas Perdana Menteri sebelum ini yang tidak lengkap tanpa adanya sesuatu mencuit hati seperti analogi Mak Kiah dan Pak Salleh.

“Stesen-stesen TV dan radio bolehlah mainkan lagu Dendang Perantau sekali-sekala. Kalau dimainkan selalu saya pun berasa sayu juga.

“Mainkanlah lagu-lagu Hari Raya yang boleh menceriakan suasana. Saya tengok dalam YouTube ada lagu ‘Jange Kelik La Weii’. Lagu ni pun OK lah,” katanya.

Ziarah terdidik

Larangan balik kampung tidak bermakna umat Islam di negara ini tidak boleh meraikan Aidilfitri yang dijangka disambut pada 24 Mei depan.

Bagaikan memahami gelojak hati rakyat, Perdana Menteri mengumumkan bahawa ziarah-menziarah dibenarkan dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang sama dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa.

“Jadi tak perlulah buat jamuan besar-besaran atau rumah terbuka. Setiap keluarga hendaklah mematuhi SOP (Prosedur Operasi Standard) kesihatan seperti penjarakan sosial, pemakaian penutup hidung dan mulut, dan amalan kebersihan kendiri seperti penggunaan pensanitasi tangan sepanjang sambutan perayaan ini.

“Pastikan rumah sentiasa bersih. Basuh pinggan mangkuk, sudu garpu, periuk belanga dan lain-lain selepas digunakan untuk menjamu tetamu yang hadir,” katanya.

Walau bagaimanapun, perlu diingatkan kelonggaran yang diberi hanyalah untuk hari raya pertama sahaja sebagai usaha mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19.

“Ziarah Aidilfitri, Ziarah Terdidik”. Begitu pandangan penjawat awam, Nur Firdaus Abdul Rahim, 37. Kelonggaran yang diumumkan kerajaan sedikit sebanyak mengubati kerinduan kepada ibu ayahnya di Bota, Perak.

“Ramai yang takut sekiranya berlaku kluster baru lepas raya tetapi sampai bila kita hendak berkurung sahaja dalam rumah? Ini merupakan normal baharu yang perlu kita praktikkan sebab vaksin dikatakan mengambil masa lama untuk dihasilkan.

“PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) 1 dan sehinggalah sekarang PKPB, adalah panduan untuk kita mendisiplinkan diri untuk hidup bersama COVID-19 sehinggalah vaksin ditemui,” katanya kepada media menerusi e-mel baru-baru ini.

Besederhana

Nur Firdaus yang akan menyambut Hari Raya bersama-sama adik-beradiknya di Bukit Jalil, Bangi dan Shah Alam memberitahu media, pelbagai perancangan rapi diatur untuk meraikan sambutan raya normal baharu.

Antaranya dengan penyediaan cecair pembasmi kuman, mengehadkan kedatangan tetamu serta memastikan penjarakan sosial antara satu sama lain.

Menjadikan Taiwan sebagai inspirasi kawalan kendiri di mana negara itu tidak melaksanakan PKP tetapi mempunyai jumlah kes dan kematian akibat COVID-19 antara yang terendah di dunia disebabkan disiplin rakyatnya, Nur Firdaus berkata rakyat Malaysia juga mampu melakukannya.

“Kita semua perlu mula kehidupan normal baharu dengan mendisplinkan diri, amalkan kebersihan tahap tinggi dan setiap orang harus menjalankan tanggungjawab menjaga kesejahteraan diri bersama keluarga,” katanya.

Mengulas mengenai ‘ziarah normal baharu’ ini, Dr Ku Suhaila Ku Johari, pensyarah kanan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia berkata terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian jitu bukan sahaja tuan rumah tetapi juga tetamu.

Bukan hanya meliputi aspek penjarakan sosial, kebersihan, pemakaian penutup mulut dan hidung mahupun penyediaan cecair pembasmi kuman tetapi lebih daripada itu.

“Setiap rakyat Malaysia tidak boleh bersikap ambil ringan apabila diberi sedikit kelonggaran. Risiko penularan COVID-19 berkemungkinan besar boleh berlaku memandangkan kita tak pasti di mana ‘musuh dalam senyap’ itu dan bila jangkitan boleh berlaku.

“Sambutlah Hari Raya secara sederhana. Hormati dan titikberatkan aspek keselamatan,“ katanya kepada media menerusi e-mel.

Banyak perlu dibuat

Bagi tuan rumah yang memasang hasrat untuk menerima kedatangan tetamu pada Hari Raya serta mereka yang mahu pergi menziarah, ada banyak tanggungjawab yang perlu diberi perhatian.

Tetamu misalnya, mereka tidak boleh lagi bersikap ‘terjah sahaja rumah saudara-mara dan kawan-kawan’ dengan alasan ‘ala, inikan raya’ . Normal baharu ialah telefon dahulu tuan rumah.

Mungkin ada yang tidak bersedia menerima kedatangan tetamu. Selidiki sama ada rumah yang ingin diziarahi itu mempunyai warga emas yang mempunyai sakit kronik dan sebagainya.

Difahamkan jumlah kes kematian kes COVID-19 bagi individu 60 tahun ke atas adalah lebih 50 peratus, manakala bagi pesakit penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti kencing manis dan darah tinggi, kes kematian adalah 85 peratus ke atas.

Biarpun demikian, sekiranya tuan rumah yakin boleh melaksanakan penjarakan sosial untuk menerima kedatangan tetamu, Ku Suhaila berkata mereka boleh mempraktikkan amalan kebanyakan pusat membeli-belah atau mana-mana syarikat pada ketika ini.

Misalnya, tuan rumah bersama ahli keluarga bolehlah menandakan jarak 1 meter di lantai rumah untuk memudahkan urusan tetamu mengambil juadah supaya tidak berhimpit, menyusun kerusi dengan jarak sepertimana ditetapkan, memeriksa suhu badan setiap tetamu sebelum dibenarkan masuk, mencatatkan nama dan nombor telefon yang hadir.

“Ini antara yang perlu dilakukan tuan rumah selain memakai penutup mulut dan hidung, dan menyediakan cecair pembasmi kuman serta sabun dan membuat jadual kedatangan tetamu supaya tidak datang serentak.

“Kena sediakan juga stok penutup muka dan hidung kerana mungkin ada tetamu yang datang tidak memakainya. Walaupun kelihatan agak leceh dan janggal, sebagai tuan rumah, kita perlu menyediakan terbaik. Tetamu akan cenderung untuk menghormati tindakan berjaga-jaga tersebut.

“Sekiranya tuan rumah berasa sukar untuk melaksanakan, sebaiknya, elak daripada menerima tetamu,” katanya.

Pemantau

Menyedari risiko ada yang mungkin alpa dengan SOP, beliau berkata tuan rumah boleh melantik seseorang dalam keluarganya ataupun setiap daripada ahli keluarga berperanan sebagai ‘pemantau’.

Tugas pemantau adalah memastikan setiap tetamu mengikuti SOP serta mengamalkan disiplin kawalan kendiri di samping menegur secara berhemah sekiranya ada yang mula leka.

“Sekiranya ada warga tua yang beramah mesra dan tidak mempedulikan batas sentuhan, orang dewasa misalnya ketua keluarga perlulah memainkan peranan untuk memaklumkan atau menasihati.

“Namun begitu, sensitiviti warga tua harus dijaga. Kita boleh menggunakan pendekatan lebih menyenangkan seperti adanya teknik ‘humor’ atau bergurau, gaya bahasa sopan dan berhemah serta berkasih sayang untuk mengingatkan mereka SOP,” katanya.

Selain itu, beliau berkata teknik cetakan kertas peringatan yang ditampal di setiap sudut rumah boleh dijadikan alternatif oleh tuan rumah supaya tetamu tidak alpa.

Ia boleh dibuat secara kreatif dan penggunaan bahasa berhemah supaya tidak mencetuskan rasa kurang senang. “Misalnya, cetakan kertas peringatan boleh diselitkan sekali ucapan Hari Raya mahupun ucapan terima kasih kerana mematuhi SOP.

“Boleh juga meletakkan notis di dalam bingkai gambar. Kaedah ini sedikit sebanyak mampu membantu mengingati SOP bukan sahaja tetamu tetapi juga tuan rumah,” katanya. – Bernama