Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Terarium tarik minat masyarakat urban hiasi rumah dengan hijauan mini

    JOHOR BAHRU – Trend menghias kediaman dengan terarium atau taman mini dalam bekas kaca semakin mendapat perhatian masyarakat bandar, khususnya generasi muda yang mahukan sentuhan semula jadi sebagai hiasan dalaman tanpa penjagaan rumit.

    Terarium ialah gabungan tumbuhan hidup dan elemen semula jadi yang disusun di dalam bekas kaca dan boleh dibahagikan kepada dua kategori utama, iaitu jenis tertutup dan terbuka.

    Jenis tertutup sesuai untuk tumbuhan tropika seperti fittonia yang menyukai kelembapan tinggi, manakala jenis terbuka serasi dengan kaktus dan sukulen yang memerlukan pengudaraan baik.

    “Penjagaan terarium sebenarnya sangat mudah. Untuk jenis tertutup, biasanya hanya perlu disiram setiap dua minggu dan diberi pencahayaan lampu biasa tanpa sinaran UV,” kata Penyelia Outlet NaugJustPlants, Muhammad Amirul Rashid Abdul Razak, ketika ditemui di pejabatnya di Southkey Johor Bahru.

    Jelas beliau, terarium semakin diminati kerana konsepnya yang tidak menggunakan tanah, sebaliknya hanya memerlukan bahan seperti sphagnum moss dan LECA (Lightweight Expanded Clay Aggregate) untuk mengekalkan kelembapan serta mengelakkan masalah serangga perosak.

    Nurul Athirah Eddie menunjukkan terarium yang telah siap disusun dalam bekas kaca ketika ditemui Bernama. – Bernama
    Muhammad Amirul Rashid Abdul Razak dan Nurul Athirah Eddie berbincang mengenai terarium yang dihasilkan di Southkey Johor Bahru. – Bernama
    Muhammad Amirul Rashid Abdul Razak menunjukkan terarium tertutup yang telah siap disusun dalam bekas kaca. – Bernama
    Terarium merupakan gabungan tumbuhan hidup dan elemen semula jadi yang disusun dalam bekas kaca. – Bernama
    Jenis tertutup sesuai untuk tumbuhan tropika seperti fittonia yang menyukai kelembapan tinggi, manakala jenis terbuka lebih sesuai untuk kaktus dan pokok sukulen yang memerlukan pengudaraan baik. – Bernama

    “Ramai tidak tahu, tanah bukan satu-satunya medium untuk tanaman. Dengan sphagnum moss, pokok masih boleh mendapat air yang mencukupi,” katanya sambil menambah penyusunan komponen di dalam terarium membentuk satu ekosistem kecil yang stabil dan estetik.

    Tarikan utama terarium termasuk keupayaan menjadi elemen dekorasi yang hidup dan mesra ruang, khususnya untuk kediaman kecil di kawasan bandar dengan hanya penjagaan minimum.

    Dari segi harga, Muhammad Amirul Rashid berkata bergantung pada saiz, reka bentuk dan tumbuhan yang digunakan, pihaknya pernah menjual terarium berharga RM8,000.

    “Harapan kami adalah untuk memperkenalkan terarium secara lebih meluas kepada masyarakat. Ramai yang masih fikir terarium hanya untuk haiwan kecil seperti ikan atau kura-kura, tapi sebenarnya ia juga habitat ideal bagi tumbuhan,” katanya.

    Bagi mereka yang ingin belajar menghasilkan terarium sendiri, bengkel-bengkel berkaitan kini ditawarkan setiap hari kepada orang ramai, termasuk untuk kanak-kanak, keluarga dan kumpulan korporat.

    Pemasar Digital NaugJustPlants, Nurul Athirah Eddie, 24, berkata di bengkel itu, peserta diajar langkah demi langkah proses mencipta dan menjaga terarium.

    Yuran penyertaan bengkel bergantung pada saiz dan jenis bahan yang digunakan, bermula serendah RM75 hingga RM380 bagi rekaan yang lebih besar dan kompleks.

    “Tempoh pembuatannya pula berbeza, dari 30 minit bagi rekaan kecil hingga tiga jam untuk rekaan besar, bergantung pada tahap kemahiran dan kreativiti peserta.

    “Pernah ada peserta yang berumur empat tahun hadir bersama-sama ibu bapa mereka. Ia jadi aktiviti keluarga yang menyeronokkan dan memberi pendedahan awal kepada
    anak-anak tentang penjagaan tumbuhan,” katanya.

    Bernama turut menyertai bengkel berkenaan dan didedahkan kepada kaedah mencipta serta menjaga terarium, bermula dengan menabur LECA dan sphagnum moss kering sebelum menguji kreativiti dalam menyusun atur terarium idaman berasaskan bahan yang disediakan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda