Tuesday, April 22, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Terbang ke tempat kerja setiap hari

    SEKIRANYA anda ini jenis yang sering mengeluh mengenai perjalanan ke tempat kerja setiap hari, cerita ini mungkin akan membuatkan anda berasa lebih baik mengenai keadaan anda. Seorang lelaki dari Los Angeles yang bekerja di San Francisco perlu mengharungi perjalanan selama enam jam setiap hari, yang kebanyakannya menggunakan pesawat.

    Setiap hari kerja, Curt von Badinski, seorang jurutera mekanikal di CTO bagi syarikat teknologi yang berpusat di San Francisco iaitu Motiv, telah bangun dari tidurnya pada jam 5 pagi. Kemudian dia mandi, berpakaian, menikmati sarapan dan menuju ke keretanya untuk pergi ke lapangan terbang Hope Burbank (mengambil masa 15 minit), di mana dia menaiki pesawat satu-enjin itu. Dia mengambil penerbangan selama 90 minit ke Oakland, sebuah bandar raya yang terletak 568 kilometer ke utara barat Los Angeles, dan, dari sana, dia akan menggunakan keretanya yang lain dan memandu ke ibu pejabat syarikatnya, di San Francisco. Dia akan bekerja pada pukul 8:30 pagi, dan mengulangi rutin itu sekali lagi pada jam 5 petang, ketika hendak pergi ke Los Angeles. Dia biasanya pulang ke rumah pada sekitar pukul 9 malam.

    “Apabila saya memberitahu orang ramai bahawa saya pergi ke San Franciso setiap hari, mereka bertanya kepada saya soalan itu tiga kali. Mereka berkata ‘Setiap hari?’, ‘Setiap hari?’, ‘Setiap hari?’ ” jelas Von Badinski memberitahu BBC Capital. “Mereka benar-benar keliru bahawa saya boleh pergi dan balik setiap hari.”

    Syarikat Curt sebenarnya ditubuhkan di Los Angeles, tetapi pada satu ketika mereka memutuskan untuk memindahkannya ke San Francisco, kerana “adanya begitu banyak bakat di sini dalam ruang yang sangat kecil ini”. Usahawan muda itu mengatakan bahawa dia tidak dapat memindahkan tempat asal keluarganya di LA itu ke San Francisco, dan dia juga tidak dapat memindahkan syarikat itu, jadi perjalanan yang panjang ini adalah satu-satunya kompromi yang dapat diterimanya.

    “Inilah cara saya membuat perjalanan selama enam jam mengikut keupayaan dan kemahuan saya,” kata Curt von Badinski. “Saya ingin membuat interaksi dengan syarikat saya melalui ‘face time’ dan juga dapat berinteraksi dengan mereka. Dan dalam satu hal lain, pekerja di syarikat saya sangat memerlukan keberadaan saya. Di samping itu, saya menetapkan pada diri saya yang saya perlu sentiasa berada di samping keluarga saya di LA.”

    Curt von Badinski perlu menjalani perjalanan selama enam jam setiap hari, yang kebanyakannya melalui pesawat.
    Curt von Badinski membayar yuran bulanan sebanyak AS$2,300 bagi penerbangan pesawat satu-enjin tanpa had. Dia mengakui perjalanan hariannya selama enam jam itu – samaada melalui kereta atau kapal terbang – dianggap sangat meletihkan.

    Von Badinski membayar yuran bulanan sebanyak AS$2,300 bagi penerbangan pesawat satu-enjin tanpa had, yang mana biasanya dia berkongsi dengan sekitar lapan orang penumpang lainnya. Dia juga telah menjalani pemeriksaan latar belakang yang menyeluruh, jadi dia boleh memintas terminal lapangan terbang utama, terus melalui pemeriksaan keselamatan biasa dan menaiki pesawat dalam beberapa minit dari tempat letak kereta. Walau bagaimanapun, perjalanan hariannya selama enam jam itu – sama ada menggunakan kereta atau kapal terbang – dianggap sangat meletihkan.

    Pastinya anda melihatnya seperti tidak begitu sukar apabila mendengar luahan Curt itu. Dia menyatakan bahawa dia sentiasa teruja untuk memulakan harinya itu, namun mengakui bahawa terdapatnya beberapa cabaran. Ada pada satu ketika, dia pernah mengalami keadaan cuaca yang teruk antara Los Angeles dan San Francisco.

    Kadang-kadangnya cuaca cerah di LA, namun keadaan dingin dan berkabus di San Francisco. Dan kemudian dia harus mengharungi kesesakan lalu lintas antara Oakland dan San Francisco, yang mana dia cuba untuk mengelakkan seberapa banyak yang mungkin.

    Bagi penerbangan itu sendiri, dia hanya menggunakan masa itu untuk melakukan kerjanya, membuat rangkaian dengan penumpang lain, termasuklah pengasas-pengasas syarikat baru.

    Menariknya, Curt von Badinski bukanlah satu-satunya di dunia ini yang menggunakan pesawat untuk bekerja setiap hari. Frantisek Hadrava, seorang lelaki berusia 46 tahun dari Czech Republic, bosan memandu ke tempat kerjanya, jadi dia telah membina pesawatnya sendiri. Dia kini berjaya memendekkan perjalanan hariannya dari 12-14 minit, kepada hanya 4-5 minit. Itu adalah satu kemajuan.

    Sekiranya anda berminat dengan perjalanan yang menarik, anda juga mungkin menyukai kisah seorang pustakawan dari Maryland, yang telah mengelakkan kesesakan lalu lintas dengan mendayung menggunakan bot ‘fiberglass racing shell’ di Sungai Anacostia, setiap hari.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda