NEW DELHI, 28 MEI – Gara-gara mengikat anjing peliharaannya pada belon dan melepaskannya ke udara, seorang YouTuber India menerima padah apabila dia diberkas selepas menyiarkan videonya di laman YouTubenya.
YouTuber itu, Gaurav Sharma yang mempunyai lebih empat juta pengikut, bagaimanapun menegaskan dia sayangkan anjingnya. “Sesiapa sahaja yang marah dengan saya, saya minta maaf. Saya faham ini adalah kesilapan besar saya,” katanya dalam video yang baru dikeluarkannya dari sel tahanan kelmarin. Namun dia menambah, klip tular menunjukkan anjingnya bernama Dollar terbang ke udara diikat pada banyak belon berwarna-warni, memberikan tanggapan salah mengenai perasaannya terhadap haiwan peliharaannya itu.
“Saya belum berkahwin dan Dollar sama seperti anak saya,” kata lelaki berusia 32 tahun itu.
“Dalam video-video lama saya, anda boleh melihat saya membeli-belah untuk Dollar pada musim panas dan sejuk. Saya membelinya makanan, membawanya berjalan-jalan malah meraikan hari jadinya dengan menjemput anjing lain,” katanya. Menurut laporan media, polis memberkas Sharma selepas menerima aduan daripada persatuan kebajikan haiwan, People for Animals. – AFP