MELBOURNE, 29 DIS – Hadiah lumayan sedang menunggu para pemain di Terbuka Australia pada Januari depan setelah pihak penganjur hari ini mengumumkan kenaikan sebanyak 3.4 peratus kepada rekod tertinggi AUS$76.5 juta (AS$51.6 juta).
Pemenang gelaran juara lelaki dan wanita dalam Grand Slam yang pertama pada tahun itu masing-masing akan membawa pulang AUS$2.975 juta setiap seorang, serta para pemain yang tewas pada pusingan-pusingan sebelumnya akan mendapat habuan yang lebih baik daripada edisi sebelum ini.
Sesiapa yang tersingkir pada pusingan pertama akan menerima AUS$106,250, meningkat sebanyak 3.2 peratus, manakala, pemain di pusingan kedua akan mendapat peningkatan yang hampir sama sehingga AUS$158,850.
Pengarah kejohanan, Craig Tiley berkata jumlah keseluruhan hadiah untuk tenis musim panas Australia ini, yang termasuk acara pemanas badan Grand Slam seperti Piala United, akan mencecah melebihi AUS$100 juta buat pertama kali.
“Adalah sesuatu yang kritikal untuk meneruskan kejayaan tenis musim panas Australia ini bahawa kami menyediakan peluang bermain yang relevan dan memastikan semua pemain terbaik di dunia ini diberikan sagu hati sewajarnya.
“Di Terbuka Australia, kami telah meningkatkan hadiah wang untuk setiap pusingan dari peringkat kelayakan, sehingga peringkat akhir, dengan peningkatan terbanyak pada pusingan-pusingan awal.
“Ganjaran yang besar ini dapat membantu para pemain melabur dalam kerjaya mereka dan dalam banyak kes, mendorong mereka untuk berjaya sepanjang tahun.”
Hadiah wang Terbuka Australia telah meningkat sebanyak lebih 321 peratus, atau AUS$58.32 juta, dalam 20 tahun lalu, apabila ia bermula dengan AUS$18.18 juta sahaja.
Terbuka Australia bakal berlangsung di Melbourne Park pada 16 Januari depan. – AFP
