Terbuka Australia ‘mungkin’ ditangguhkan

SYDNEY, 25 NOV – Terbuka Australia yang akan diadakan di Melbourne berkemungkinan akan ditangguhkan selama satu atau dua minggu, menurut pegawai hari ini, dengan perbincangan masih lagi berlangsung berikutan Australia sebelum ini tidak membenarkan orang luar memasuki negara itu kerana penularan wabak COVID-19.

“Kemungkinan besar Grand Slam pertama untuk tahun depan yang sepatutnya berlangsung 18 Januari mungkin akan ditunda selama satu atau dua minggu,” kata Menteri Sukan Victoria, Martin Pakula.

“Saya masih berpendapat bahawa ia mungkin tidak akan ditunda untuk satu tempoh yang lama,” katanya.

‘Rundingan adalah rumit’ dan masih berjalan namun penganjur tetap yakin kejohanan akan tetap diadakan pada awal 2021.

Australia menutup pintu masuk kepada dunia luar selama lapan bulan dengan larangan menyeluruh yang tidak membenarkan orang luar memasuki negara itu dan penduduknya tidak disarankan untuk ke luar negara.

Ketua Terbuka Australia, Craig Tiley pada awalnya mahukan pemain tiba ke Australia pada pertengahan Disember yang mana pemain akan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sebelum meneruskan dengan kejohanan pemanasan badan.

Namun rancangan itu masih belum mendapat kelulusan Perdana Menteri Dan Andrews yang dilaporkan tidak akan membenarkan pemain tiba sebelum Januari, justeru adalah mustahil untuk menganjurkan Piala ATP dan kejohanan lain sebelum Terbuka Australia bermula.

Masih dalam perbincangan adalah sama ada pemain dapat berlatih atau bersaing semasa kuarantin.

Ia timbul selepas pemenang Grand Slam, Andy Murray meminta semua pemain diberikan vaksin COVID-19 apabila ia sudah tersedia. – AFP

Gambar fail pada 2 Februari lalu menunjukkan Novak Djokovic dari Serbia menentang Dominic Thiem dari Austria di Rod Laver Arena semasa final Terbuka Australia di Melbourne. – AP