Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 31 Ogos – Seorang wanita berbangsa Dusun telah melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis pengislaman yang berlangsung di Dewan Serba Guna Pejabat Unit Dakwah di sini, hari ini.
Dayang Suzie Yani binti Jamain, 35, yang telah memilih nama Islamnya sebagai Nur Arisha binti Jamain, berasal dari Kampung Sungai Liang dan merupakan pekerja di Syarikat Mashhor General Contractor.
Hadir pada majlis pengislaman tersebut ialah Penolong Ketua Unit Dakwah Daerah Belait, Hajah Salimah binti Haji Hassan yang juga telah menyempurnakan penyampaian cenderahati kepada saudara baharu yang diraikan.
Terdahulu, majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diteruskan dengan upacara pengislaman, kemudiannya menyaksikan penyempurnaan penyampaian cenderahati sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

Pejabat Unit Dakwah dalam kenyataannya mengongsikan statistik orang yang memeluk agama Islam di Daerah Belait sejak awal bulan Januari lalu sehingga hujung bulan ini iaitu seramai 60 orang.
Manakala itu, tahun lalu statistik menunjukkan Daerah Belait mencatatkan seramai 68 orang saudara baharu.
Hajah Salimah menyatakan bahawa setiap mualaf yang baharu memeluk agama Islam dikehendaki untuk mengikuti kursus yang dianjurkan oleh Pusat Dakwah Islamiah antaranya Kursus Bimbingan Pengenalan Islam selama 10 hari diikuti Kursus Skim Bimbingan Asas selama 14 hari yang diadakan di Bahagian Dakwah Daerah Belait.
Manakala itu, Kursus Bimbingan Lanjutan 1 dan 2 diadakan secara berasrama di Pusat Dakwah Islamiah Kampung Pulaie Bandar Seri Begawan.