Ahad, 23 November 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Terbuka Hong Kong: Jun Hao tewaskan Zii Jia

    KUALA LUMPUR, 10 SEPT – Pemain perseorangan lelaki Malaysia, Leong Jun Hao akhirnya berjaya mengatasi rakan senegara Lee Zii Jia sekali gus mara ke pusingan kedua kejohanan badminton Terbuka Hong Kong 2025 hari ini.

    Dalam aksi yang berlangsung di Hong Kong Coliseum, pemain nombor 23 dunia itu mencatat kemenangan sulung ke atas Zii Jia dengan keputusan 21-16, 21-16, sekali gus menamatkan rekod tiga kekalahan dalam pertemuan sebelum ini termasuk di Terbuka Artik 2023.

    Zii Jia yang berada di ranking ke-47 dunia bermula agresif pada set pertama menerusi beberapa pukulan smash bertenaga namun banyak hantarannya tersasar keluar gelanggang justeru memberikan kelebihan buat Jun Hao mengesahkan kemenangan 21-16.

    Jun Hao terus mengekalkan momentum pada set kedua walaupun diasak hebat oleh Zii Jia.

    Bagaimanapun, usaha Zii Jia untuk mengheret perlawanan ke set penentuan tidak berhasil apabila Jun Hao kekal tenang bagi meraih kemenangan straight set.

    Menanti Jun Hao pada pusingan kedua ialah pemenang perlawanan antara satu lagi wakil negara Justin Hoh dengan pilihan kelapan kejohanan dari Perancis, Toma Junior Popov.

    Dalam pada itu, Justin mengesahkan pertemuan dengan Jun Hao selepas mengejutkan Popov.

    Turun sebagai pemain bukan pilihan, Justin tampil dengan corak permainan yang begitu meyakinkan, sekali gus membolehkannya menutup aksi dengan kemenangan straight set 21-12, 21-17 dalam tempoh 43 minit. – Bernama

    Aksi Leong Jun Hao semasa perlawanan perseorangan lelaki di Kejohanan Dunia BWF badminton di Arena Adidas di Paris pada 26 Ogos lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda