KUALA LUMPUR, 30 JUN – Keputusan sama ada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia bakal diteruskan pada November ini atau tidak, dijangka akan diputuskan pada mesyuarat ahli majlis Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam tempoh terdekat.
Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, badan induk itu perlu mengambil kira beberapa faktor sebelum meneruskan penganjuran kejohanan berkenaan yang menawarkan wang tunai berjumlah AS$750,000 (RM3.212 juta).
Antaranya adalah perlu mengeluarkan perbelanjaan tambahan bagi membeli pensanitasi tangan, selain jangkaan kemerosotan kehadiran penyokong, kerana perlu mengamalkan jarakan sosial satu meter sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Terbuka Malaysia juga bukan merupakan sebahagian daripada kejohanan yang menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik (Tokyo 2020). Selain itu, kita juga perlu melihat kesesuaian penganjuran kejohanan ini kerana kita sedang berdepan (pandemik) Covid-19,” katanya.
Mohamad Norza yang merupakan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM ke-20 di Wisma OCM, di sini, hari ini. – Bernama