Terbuka Malaysia terima sambutan menggalakkan

KUANTAN, 29 MEI – Tiket kejohanan badminton Terbuka Malaysia, kini dikenali sebagai Petronas Terbuka Malaysia yang bakal berlangsung di Arena Axiata Bukit Jalil dari 28 Jun hingga 3 Julai ini hampir habis dijual.

Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh berkata sambutan diterima amat menggalakkan selepas dua tahun kejohanan itu tidak dianjurkan akibat pandemik COVID-19. 

“Saya difahamkan sambutan sangat baik dan diberitahu tiket hampir habis dijual untuk peringkat suku akhir dan ke atas… ada sedikit lagi tiket tinggal,” katanya ketika ditemui pemberita pada kejohanan badminton Petronas Bawah 21 Tahun di Dewan Badminton Persatuan Badminton Pahang di sini hari ini. 

Tiket kejohanan tersebut mula dijual pada 26 Mei lepas dengan harga dari RM25 hingga RM500, manakala promosi untuk 2,000 tiket pertama telah habis dijual.

Kejohanan itu, yang merupakan satu daripada lima kejohanan siri super berprestij dalam kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF), bakal menyediakan hadiah keseluruhan berjumlah AS$675,000.

Sementara itu, mengenai kejohanan hari ini yang disertai pemain pelapis dan remaja, beliau berkata pihaknya berpuas hati dengan prestasi pemain yang mempamerkan kualiti permainan tinggi. 

Kejohanan yang berlangsung selama lima hari bermula Rabu lepas itu menyaksikan Hoh Shou Wei Justin memenangi kategori perseorangan lelaki manakala Wong Ling Ching muncul juara perseorangan wanita. – Bernama