WUHAN, China, 27 Sept – Simona Halep tewas 6-2, 6-1 kepada Daria Kasatkina dari Rusia semalam pada pertandingan Terbuka Wuhan yang menyaksikan dua pertiga dari pemain-pemain pilihan teratas tersingkir pada dua pusingan pertama.
Pemain nombor dua dunia itu menuju penyingkiran bersama dengan Caroline Wozniacki dari Denmark, pemain ranking keenam, yang tewas 7-5, 6-3 kepada Maria Sakkari dari Greece.
Mereka mengikut jejak langkah pemain-pemain pilihan lain, Johanna Konta, Sloane Stephens, Madison Keys dan Petra Kvitova, yang semuanya mengalami kekalahan mengejut pada Isnin lalu.
Tetapi ia tidak semua berita teruk bagi pemain-pemain teratas sukan itu ketika Garbine Muguruza dari Sepanyol, pemain nombor satu dunia, mencatatkan kemenangan menentang Lesia Tsurenko dari Ukraine, yang mara ke pusingan ketiga dengan kemenangan 6-4, 6-4.
Halep, 25, bersaing bagi perlawanan pertamanya sejak pusingan pembukaan Terbuka AS apabila tewas kepada Maria Sharapova.


“Saya tidak beraksi selama sebulan. Ia adalah sukar untuk kembali dan beraksi dalam perlawanan ini, mungkin ia adalah satu kesilapan di mana saya tidak beraksi, tetapi saya memerlukan rehat selepas musim AS,” katanya selepas perlawanan.
“Apa yang saya lihat selepas Terbuka AS adalah servis saya terlalu perlahan bagi pemain-pemain besar, sebab itu mengapa saya memutuskan untuk menguatkannya lagi,” tambahnya. Sementara itu Wozniacki, pemain pilihan keempat, yang dikecewakan oleh Sakkari, ranking ke-80 dunia, mencatatkan kemenangan pertamanya ke atas 20 pemain teratas.
Kekalahan itu hadir selepas Wozniacki, yang menamatkan hujung tahun sebagai pemain nombor satu dunia pada 2010 dan 2011, memenangi Terbuka Pan Pasifik ketiganya di Jepun minggu lalu, memenangi gelaran pertamanya tahun ini. Dia sebelumnya tewas enam perlawanan akhir. – AFP