Pelakon terkenal, Datuk Rosyam Nor (gambar) meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang didakwa melanggar privasi keluarganya.
Dia berkata terdapat satu akaun TikTok yang memuat naik gambar isteri dan anak-anaknya.
“Saya tidak suka dan kurang gemar dengan apa yang berlaku ini. Selama ini, saya tidak pernah muat naik gambar isteri dan anak-anak bagi menghormati privasi mereka.
“Terdesak sangat ke hendak mendapatkan ‘like’ dan ‘followers’?” kata Datuk Rosyam Nor.
“Adakah ini cara untuk mendapat perhatian di media sosial? Mengapa apabila anak saya hantar, tinggalkan komen di akaun berkenaan, namun disekat mereka?
Menurutnya, dia sudah membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung akaun terbabit.
“Malah, media juga sudah maklum mengenai perkara ini.
“Saya sudah membuat laporan kepada MCMC untuk tindakan lanjut,” katanya.
Selain Rosyam, beberapa akaun TikTok turut memuatkan gambar keluarga Faizal Hussein, Farid Kamil dan banyak lagi. Menerusi akaun berkenaan, pelakon lelaki ini menzahirkan ucapan penghargaan buat isteri mereka.
Rosyam berkata demikian ketika ditemui pada malam gala tayangan filem Duan Nago Bogho di GSC, Starling Mall, baru-baru ini.