KUALA NERUS, 1 Jan – Kerajaan Terengganu mahu mewujudkan atau menaik taraf lokasi pelancongan sedia ada di setiap daerah sebagai usaha memperkasakan industri pelancongan negeri ini berdasarkan keistimewaan yang ada di kawasan itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata penambahan tarikan pelancongan itu akan memberi pilihan yang lebih banyak kepada para pengunjung di samping berkunjung ke lokasi pelancongan terkenal sedia ada seperti pulau-pulau dan pantai-pantai.
“Lokasi berkenaan akan dimajukan mengikut tarikan seperti kebudayaan, makanan atau kesenian dan kraf ( songket, batik, ukiran tembaga). Sebagai contoh, jika pelancong ingin pelancongan Islamik, boleh melawat kawasan batu bersurat di Hulu Terengganu…kalau yang ingin mengenali ikon Terengganu iaitu penyu misalnya boleh la ke Rantau Abang, Dungun.
Kita akan menaiktaraf lokasi-lokasi ini seperti Rumah Ayah Su (di Losong), kawasan batu bersurat yang dikatakan tidak dijaga dengan rapi manakala di Rantau Abang, mungkin boleh diwujudkan muzium penyu atau replika dan sebagainya jika penyu takdok (tidak mendarat),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menyambut pelancong tempatan dan luar negara sempena pelancaran program, Visit Beautiful Terengganu 2018 di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus di sini hari ini.

Visit Beautiful Terengganu 2018 merupakan kesinambungan program sama yang dilancarkan pada tahun lepas oleh Jabatan Pelancongan Terengganu.
Ahmad Razif pada majlis itu turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada pengayuh beca, pengusaha bot penambang dan pemandu teksi sekitar bandar Terengganu.
“Penyampaian bantuan (secara bulanan) akan diteruskan sebagai menyokong mereka yang berada di barisan hadapan industri pelancongan negeri ini selama ini.
Manakala bagi pemandu teksi mereka menerima sumbangan sebanyak RM500 yang diberikan dalam dua kaedah iaitu RM150 bagi insurans dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial dan RM350 dalam bentuk tunai,” katanya.
Ahmad Razif juga yakin rakyat akan terus menyokong usaha kerajaan negeri membangunkan industri pelancongan memandangkan ia kini menjadi lubuk menghasilkan pendapatan lumayan dan meningkatkan taraf ekonomi masyarakat setempat.
“Kita juga telah menyerap 30 bekas graduan menerusi Program Transformasi Graduan Terengganu ke Jabatan Pelancongan Terengganu untuk dilatih menjadi pemandu pelancong dan operator pelancongan kerana bidang ini amat berpotensi memberi pulangan yang lumayan kepada pengusaha,” katanya. – Bernama