Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JULAI – Ketua Hakim, Yang Amat Arif Dato Paduka Steven Chong diberikan penghormatan dan menerima anugerah berprestij iaitu Anugerah Ahli Kehakiman Antarabangsa 2019 atas sumbangan unik sepanjang hayat dalam bidang pentadbiran keadilan.
Anugerah itu disampaikan oleh Majlis Antarabangsa Ahli Kehakiman, sebuah organisasi yang merupakan badan ahli kehakiman yang berfungsi ke arah mempromosikan pentadbiran, perkembangan dan kemajuan keadilan yang pesat, bersesuaian dengan keperluan ekonomi dan sosial masyarakat.
Majlis itu giat aktif dalam menganjurkan kempen-kempen kesedaran dan penerangan undang-undang yang digunakan untuk perkembangan dan penambahbaikan bermanfaat untuk orang awam.
Ia juga dihasratkan untuk mempromosi kedaulatan undang-undang dan keadilan sosial melalui peruntukan nasihat guaman percuma dan dengan mengekalkan sistem nasihat perundangan yang ceka
Yang Amat Arif Dato Paduka Steven Chong menerima anugerah berkenaan dalam majlis penganugerahan di Mahkamah Besar Negara Brunei Darussalam, Bandar Seri Begawan, hari ini di mana penyampaiannya disempurnakan oleh Presiden Majlis Antarabangsa Ahli Kehakiman, Dr Adish C. Aggarwala.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Peguam Negara, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Hairol Arni bin Haji Abdul Majid; Hakim Mahkamah Tinggi, Yang Arif Pengiran Datin Paduka Hajah Rostaina binti Pengiran Haji Duraman; duta besar, pesuruhjaya tinggi dan ahli-ahli diplomatik; Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Ketua Pendaftar Mahkamah Besar, Haji Abdullah Soefri bin POKSM DSP Haji Abidin; Timbalan Presiden Persatuan Undang-Undang, Pengiran Izad Ryan bin PLKD Pengiran Haji Bahrin serta para pegawai dan kakitangan Mahkamah Besar.
Dalam ucapannya di majlis berkenaan, Dr Adish Aggarwala berkata, anugerah kepada Yang Amat Arif Dato Paduka Steven Chong adalah atas sumbangan sepanjang hayat beliau yang unik dalam bidang pentadbiran keadilan dan dalam mengiktiraf keteladanan dan sumbangan meluas beliau pada teori dan amalan undang-undang untuk kemajuan keadilan.
Dr Aggarwala selanjutnya menyifatkan Ketua Hakim sebagai seorang yang sangat rajin, berwawasan dan lurus serta memuji peranan penting beliau dalam usaha untuk memperbaiki sistem penyampaian keadilan serantau dan dalam melakukan segala usaha mungkin untuk menjadikan kehakiman Negara Brunei Darussalam kuat dan mandiri.
Sementara itu, Yang Amat Arif Dato Paduka Steven Chong dalam ucapannya, menyebut semula komitmen kehakiman untuk mendukung kedaulatan undang-undang dan memperbaiki kualiti pe-nyampaian sistem keadilan, menekankan semula usaha-usaha yang telah diambil oleh kehakiman untuk menubuhkan sistem kehakiman yang cekap dan berkesan serta meningkatkan akses kepada keadilan.
Beliau seterusnya menyenaraikan pelbagai usaha yang dilaksanakan termasuk menetapkan tempoh masa untuk penyampaian penghakiman, pengurusan kes yang aktif, perkembangan profesional bagi pegawai-pegawai kehakiman, perkembangan Bench Book untuk mengekalkan konsistensi dalam hukuman, meluaskan penggunaan perantaraan untuk menggalakkan cara yang lebih harmoni dalam menyelesaikan pertikaian dan menggalakkan ahli-ahli perundangan untuk memberi khidmat pro bono.
Negara Brunei Darussalam mendukung sistem dwi (dual) perundangan yang berdasarkan Undang-undang Syariah dan sivil dalam mentadbir keadilan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dalam titah Baginda semasa mesyuarat Majlis Ugama Islam Brunei pada Oktober 2011, telah bertitah bahawa “mahkamah-mahkamah ini mempunyai satu fungsi – untuk mengawal masalah-masalah dan cara-cara untuk menegakkan keadilan.
“Beta percaya… yang kedua-dua sistem kehakiman – sivil dan Syariah – tidak akan menimbulkan masalah jika ia berjalan selari atau sejajarnya.”
Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga bertitah bahawa “secara ringkasnya, kedua-dua Undang-undang Syariah dan sivil boleh berjalan sejajarnya tanpa menjejaskan antara satu sama lain. Inilah keunikan Brunei.”
Yang Amat Arif Dato Paduka Steven Chong merupakan hakim pertama dari Negara Brunei Darussalam yang menerima Anugerah Antarabangsa Ahli Kehakiman.
Penerima-penerima yang terdahulu termasuklah Ketua Hakim Singapura, Sundaresh Menon yang telah menerima anugerah berkenaan pada 2013 dan Ketua Hakim Singapura, Chan Sek Keong yang telah menerima anugerah berkenaan pada 2009 yang merupakan antara ahli-ahli Kehakiman Antarabangsa yang ternama.