BANDAR SERI BEGAWAN, 14 APRIL – Universiti Teknologi Brunei (UTB) di bawah penyelidikan Digital dan Kreativiti bersama empat lagi kumpulan penyelidikan antarabangsa telah memperoleh pembiayaan projek bernilai AS$80,000 dari Organisasi Maya ICT ASEAN (ASEAN IVO), kesatuan institusi penyelidikan di ASEAN dan Jepun, untuk projek cadangan mereka bertajuk ‘Reusable, Sharable, and Transferable Smart Data Platform for Collaborative Development of Data Driven Smart Cities’.
Kumpulan penyelidikan terdiri daripada UTB; Universiti Da Lat, Vietnam; Universiti Kebangsaan Singapura; Universiti Negeri Isabela, Filipina; dan Institut Kebangsaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (NICT), Jepun sebagai pemimpin projek. Projek yang diberikan bermula dari 1 April hingga 31 Mac 2022.
Mewakili UTB dan selaku ketua penyelidik ialah Penolong Profesor dari Sekolah Pengkomputeran dan Informasi (SCI), Dr Asem Kasem, bersama ahli-ahli yang lain, Penolong Profesor Dr Wida Susanty binti Haji Suhaili; dan seorang pelajar PhD dari SCI, Dayang Effa Nabilla Aziz.
Projek ini bertujuan untuk membangunkan aplikasi bandar pintar yang berkembang di sekitar kesedaran alam sekitar negara-negara ASEAN dengan menggunakan platform data pintar yang boleh digunakan semula, dikongsikan dan dipindahkan, yang dinamakan xData yang pada mulanya dibina oleh NICT.
Ini akan membantu mempromosikan ramalan kolaboratif dan pengukuran risiko sosial yang disebabkan oleh bencana alam sekitar negara-negara ASEAN.

Para penyelidik akan menganjurkan bengkel di peringkat antarabangsa untuk memudahkan pemindahan pengetahuan, membincangkan dan menentukan piawaian perkongsian dan kolaborasi di masa depan, membolehkan pembangunan aplikasi dan meningkatkan lagi struktur platform xData.
Aplikasi baharu akan dibina oleh setiap kumpulan penyelidikan untuk membuat, berkongsi, memindahkan dan menyesuaikan dengan model ramalan dengan data tempatan di atas platform dengan berkesan.
Aplikasi yang dicadangkan termasuk Smart Environmental Tourism and Sustainability Mobility oleh bandar Da Lat dan Universiti Da Lat, Vietnam; Smart Outdoor Activities oleh Universiti Kebangsaan Singapura, Singapura; Smart Dengue EW System oleh Universiti Negeri Isabela di Kampus Cauayan, Filipina; dan Transboundary Air-Pollution Forecasting oleh UTB.
Projek UTB akan memberi tumpuan kepada ramalan jerebu dan pencemaran udara merentas sempadan, yang menggalakkan penyelidikan bencana merentas sempadan, dan membantu pembuat keputusan pihak kerajaan untuk merancang terhadap nasihat kesihatan awam contohnya penutupan sekolah jika berlaku ramalan jerebu yang berbahaya yang berpanjangan.
Setiap aplikasi menawarkan beberapa aspek tersendiri kepada kesan sosial yang akan meningkatkan kualiti perkhidmatan dan kehidupan orang di bandar di mana ia akan digunakan. Kerja membangunkan aplikasi ini akan membawa kepada kemajuan yang lebih pantas dan pemodelan yang lebih tepat melalui perkongsian dan penggunaan semula sumber, kaedah, model dan data.
Kejayaan dalam melaksanakan aplikasi ini dengan menggunakan platform yang dikongsi akan memberi kemudahan di masa depan untuk menggabungkan semuanya ke dalam satu bandar pintar.