Tuesday, May 13, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Terima geran mini projek selamatkan Kampong Ayer

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mac – Dua pemimpin belia tempatan telah dianugerahkan geran mini apabila kertas kerja projek mereka menarik perhatian pada Kem Penyokong Laut dan Bumi (SEA) Inisiatif Pemimpin-pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) yang diadakan di Coron, Palawan, Filipina selama seminggu, baru-baru ini.

    Geran mini berkenaan diberikan bagi menyiapkan projek mereka bertajuk ‘Menyelamatkan Kampong Ayer’ di tanah air.

    Dayang Shaima binti Haji Misli dan Awang Hizaam bin Haji Abdul Haris merupakan antara 30 orang pemimpin muda dari negara-negara ASEAN yang aktif dalam isu alam sekitar, pantai dan marin yang menyertai Kem SEA YSEALI berkenaan.

    Dayang Shaima, 19, merupakan pelajar Tahun 2 di Universiti Brunei Darussalam dengan mengambil bidang Sains Biologi dan lebih berminat kepada pemuliharaan manakala itu, Awang Hizaam, 22, pula baru menamatkan pengajian di salah sebuah universiti di Washington D.C., Amerika Syarikat (AS), dengan kelulusan Sarjana Muda dalam bidang Sains Alam Sekitar.

    Kedua-duanya telah menjelaskan mengenai projek mereka semasa sidang media yang diadakan di Starbucks Mabohai, hari ini.

    Awang Hizaam, Dayang Shaima dan Catherine Muller ketika sidang media mengenai penglibatan peserta Negara Brunei Darussalam dalam Kem SEA YSEALI.
    Awang Hizaam, Dayang Shaima dan Catherine Muller ketika sidang media mengenai penglibatan peserta Negara Brunei Darussalam dalam Kem SEA YSEALI.

    Mereka menjelaskan bahawa projek berkenaan bertujuan bagi mengadakan bengkel sehari dalam pendidikan alam sekitar iaitu mengenai pengurusan sisa sampah yang melibatkan 30 orang pelajar sekolah rendah berumur 10 dan 11 tahun di Kampong Ayer.

    Pelajar-pelajar berkenaan akan menjadi pengawas eko (eco-prefects) dan juga mengajar rakan-rakan mereka mengenai pengurusan sisa sampah.

    Awang Hizaam mengongsikan bahawa nenek-nenek mereka yang tinggal di Kampong Ayer telah menceritakan kepada mereka akan kebersihan di Kampong Ayer dahulu, yang kurang pencemaran dan sampah-sarap.

    “Mereka juga menceritakan akan kejernihan air di Kampong Ayer di mana ikan-ikan dapat dilihat dengan jelas,” jelas Awang Hizaam.

    Beliau juga menambah, “Kami mahu peserta muda kami untuk menyedari bahawa kehidupan lestari, walaupun dalam persekitaran perbandaran, masih boleh dicapai dan kemajuan serta pemuliharaan alam sekitar boleh dilaksanakan dengan seiring.”

    Ketika menyertai kem yang berlangsung dari 15 hingga 22 Mac lalu itu, para peserta telah menjalani program pendidikan dan kepimpinan alam sekitar yang intensif dengan aktiviti luar, bengkel dan perbincangan panel bersama pihak berkuasa utama serta pakar dalam bidang berkenaan.

    Pegawai Perhubungan Awam di Kedutaan AS, Catherine Muller, yang turut hadir semasa sidang media itu memberitahu bahawa Kem SEA YSEALI berkenaan merupakan kali ke-9 diadakan oleh kerajaan AS dan kali pertama melibatkan peserta dari Brunei.

    Beliau juga menjelaskan bahawa selain Kem SEA YSEALI, pelbagai bengkel lain juga telah dan akan diadakan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda