Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada doktor dan kakitangan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) yang telah bertugas pada 12hb Ogos yang lalu.
Bermula dengan proses pendaftaran yang lancar. Saya terkejut kerana anak damit saya tidak dikenakan sebarang bayaran untuk berjumpa dengan doktor. Alhamdulillah dan terima kasih saya ucapkan kerana tidak berkira-kira dengan orang luar seperti saya.
Pada hari tersebut, selepas disaring di Triage oleh jururawat bertugas, saya hanya perlu menunggu kurang dua jam untuk dipanggil masuk bertemu doktor. Perlu saya tekankan, jika di Malaysia, kami kadangkala perlu menunggu lebih lama daripada tempoh tersebut hanya untuk mendapatkan rawatan asas. Sekali lagi, syabas saya ucapkan.
Semasa menerima rawatan, anak saya ditempatkan di wad kanak-kanak bagi tujuan pemantauan. Alhamdulillah, kami diberikan satu katil dan kerusi yang selesa dengan penyaman udara yang tidak terlalu sejuk dan tidak terlalu panas. Persekitaran di wad tersebut agak selesa untuk anak damit saya dan penjaga yang menunggu.
Doktor yang bertugas pada hari tersebut juga tampil profesional. Gaya bahasa dan adab pertuturannya sungguh lembut dan mudah difahami. Begitu juga dengan para jururawat di wad tersebut.
Anak damit saya dikeluarkan dari hospital tanpa sempat kami berjumpa dengan doktor itu. Maka tulisan ini adalah pengganti ucapan terima kasih kami kepada doktor dan kakitangan hospital yang telah merawat anak damit saya. Terima kasih!
Anak Malaysia







