Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Terima kit pengesan covid-19

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MAC – Kementerian Kesihatan telah menerima sumbangan berupa 20 kit pengesanan COVID-19 daripada BGI Brunei yang mana sumbangan itu ditaja oleh The Mammoth Foundation Shenzhen dengan BGI merupakan salah satu penajanya.

    Sumbangan berkenaan telah diterima oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman bagi pihak Kementerian Kesihatan dengan sumbangan diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif BGI Brunei, Hakim Chen dalam majlis penyerahan sumbangan yang berlangsung di Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Pada majlis berkenaan, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar turut menyampaikan sijil penghargaan kepada Duta Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong, atas sokongan berterusan Republik Rakyat China kepada Negara Brunei Darussalam.

    Kit pengesan yang disumbangkan itu telah menerima tanda CE-IVD dan setiap kit pengesan boleh memberikan sebanyak 50 ujian.

    Oleh itu, sumbangan itu, membolehkan Kementerian Kesihatan untuk menjalankan ujian pengesanan bagi sehingga 1,000 individu.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham (kanan) dan PYT Yu Hong (kiri) menyaksikan Haji Abdul Manap (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada Hakim Chen (dua dari kiri) semasa majlis penyampaian sumbangan yang berlangsung di Kementerian Kesihatan. – Gambar oleh James Kon

    BGI Brunei adalah berkaitan dengan Kumpulan BGI, yang mempunyai ibu pejabat global yang berpangkalan di Shenzhen, China dan mempunyai ibu pejabat serantau di Eropah, Asia Pasifik dan Amerika serta aktif di lebih 100 buah negara.

    BGI Genomics ditubuhkan pada 1999 sebagai sebuah organisasi penyelidikan bagi menyokong Projek Genom Manusia pertama. Menerusi penggunaan platform cutting-edge next generation sequencing, BGI secara aktif terlibat dalam bidang penyelidikan kanser, kemapanan-bio serta ubat-ubatan khusus (personalized medicine).

    Pemeriksaan genetik membolehkan pengenalpastian perubahan pada kromosom, gen atau protein. Hasil keputusan daripada ujian genetik berkenaan boleh mengenal pasti atau menolak bagi sesuatu keadaan genetik yang disyaki serta membantu untuk menentukan peluang bagi seseorang itu mengalami atau menurunkan masalah genetik berkenaan seperti pencegahan kanser.

    Misi BGI adalah untuk menyediakan penyelidik dan profesional penjagaan kesihatan dengan data genom yang berkualiti dan penyelesaian ujian genetik dengan harga yang berpatutan.

    Penyediaan perkhidmatan berkenaan di Brunei akan menempatkan negara di barisan hadapan bagi perkhidmatan penjagaan kesihatan dan ujian perubatan di mana ia mampu untuk meningkatkan kualiti kehidupan orang ramai.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda