Sunday, May 11, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Terima kunjungan delegasi Thailand

    Oleh Syahmi Hassan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Ogos – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, hari ini, telah menerima kunjungan daripada delegasi Program Pertukaran Penerangan dan Media dari Jabatan Perhubungan Awam (PRD) Thailand.

    Dalam lawatan itu, delegasi yang diketuai oleh Ketua Divisyen Kerjasama MoU, Pejabat Luar PRD, Siriwan Dampreeda telah mendengarkan taklimat mengenai strategi kerja Jabatan Penerangan yang disampaikan oleh Pegawai Penerangan, Awang Ali Termizzi bin Haji Ramlli/Ramli di Bilik Persidangan, Tingkat 2, Bangunan Tambahan Jabatan Penerangan.

    Selepas sesi soal jawab dan bergambar ramai, rombongan dibawa melawat ke unit-unit dan bahagian yang ada di jabatan berkenaan.

    Jabatan Penerangan yang dulu dikenali sebagai Perkhidmatan Penerangan, telah ditubuhkan pada 1 April 1952, yang mana antara peranan utamanya adalah sebagai lidah dan telinga kerajaan dalam menyampaikan maklumat dan berita mengenai dasar, aktiviti dan program kerajaan, serta mendengar isu-isu terkini dan memahami agenda media massa.

    Delegasi dari PRD Thailand bergambar ramai bersama para pegawai Jabatan Penerangan.

    Program pertukaran berkenaan merupakan salah satu projek yang telah dipersetujui di Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Bersama di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan kerajaan Thailand dalam bidang penerangan.

    Ia bertujuan bagi memberikan pendedahan dan pengalaman serta berkongsi maklumat tentang peranan dan fungsi masing-masing selaku telinga, mata dan lidah kerajaan kedua-dua buah negara ke arah memelihara, meningkatkan dan mencemerlangkan imej raja, negara dan kerajaan melalui penyebaran maklumat yang cepat, tepat dan berwibawa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda