Friday, November 15, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Terima kunjungan hormat tiga ketua perwakilan asing

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib hari ini telah menerima kunjungan hormat daripada tiga ketua perwakilan asing ke Brunei di Bangunan Dewan Majlis, Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat.

    Yang Berhormat Pehin telah menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Filipina ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Marian Jocelyn R. Tirol-Ignacio; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Persekutuan Rusia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Mikhail Vladimirovich Baranov; dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Amerika Syarikat ke Negara Brunei Darussalam, PYT Caryn Roberta McClelland yang diadakan secara berasingan.

    Semasa kunjungan hormat daripada PYT Marian Jocelyn R. Tirol-Ignacio, kedua-dua belah pihak telah merakamkan rasa penghargaan atas hubungan kerjasama yang terjalin dan berharap ia akan sentiasa berkembang.

    Mereka juga menekankan kepentingan pertukaran antara rakyat termasuk pertukaran maklumat, lawatan dan sebagainya bagi memperkukuhkan lagi hubungan persahabatan yang baik dan rapat antara kedua-dua negara.

    Dalam perkara itu, Puan Yang Terutama juga merakamkan penghargaan atas penerimaan lawatan kerja daripada Pejabat Peguam Negara Bangsamoro (BAGO) ke Dewan Majlis baru-baru ini dan menyatakan melalui lawatan tersebut, pihak BAGO dapat mempelajari dan memahami banyak aspek dan tatacara perundangan dan amalan-amalan terbaik di negara ini.

    Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman semasa menerima kunjungan hormat daripada PYT Marian Jocelyn R. Tirol-Ignacio. – Gambar serahan Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat
    Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman semasa menerima kunjungan hormat Duta Besar Istimewa dan Mutlak Persekutuan Rusia ke Negara Brunei Darussalam.
    Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman semasa menerima kunjungan hormat Duta Besar Istimewa dan Mutlak Amerika Syarikat ke Negara Brunei Darussalam.

    Sementara itu, dalam kunjungan hormat bersama TYT Mikhail Vladimirovich Baranov, kedua-dua pihak telah menyentuh mengenai pertukaran lawatan antara kedua-duanya yang pernah dibuat pada beberapa tahun yang lalu.

    Mereka berharap hubungan dua hala yang terjalin itu sentiasa akan dapat diperkuatkan dan menekankan juga hubungan antara parlimen dan keagamaan adalah antara hubungan yang penting sebagai penyumbang kepada pengukuhan hubungan antara kedua-dua negara.

    Manakala itu, dalam kunjungan hormat bersama PYT Caryn Roberta McClelland, kedua-duanya telah menyentuh dan membincangkan mengenai Persidangan MMN yang lepas seperti lantikan baharu dan tanggungjawab ahli.

    Kedua-dua pihak juga menyentuh mengenai perubahan norma selepas wabak pandemik termasuk cara-cara pekerjaan yang dibuat dan juga pelbagai aspek seperti perlaksanaan program dan mesyuarat yang dapat dibuat secara maya dan membantu di dalam penjimatan kos dan masa.

    Dalam perkara lain, kedua-dua pihak juga telah bertukar-tukar pendapat dan buah fikiran dalam bidang-bidang yang menjadi keprihatinan dan kepentingan bersama termasuk pelaburan dan perdagangan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda