Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 APRIL – Dalam sama-sama membendung penularan wabak COVID-19, beberapa buah syarikat telah menyumbangkan cecair atau gel pembasmi kuman kepada Jabatan Hal Ehwal Masjid untuk kegunaan di masjid-masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara.
Bobby Electrical Co Sdn Bhd dan One Station Supermarket, hari ini, telah menyumbangkan sebanyak 20 botol yang mengandungi 5 liter cecair pembasmi kuman yang disampaikan oleh Pengarah Syarikat Bobby Electrical, Philip Chieng.
Dalam acara berasingan sebelum ini, Pitsop.bn menyumbangkan sebanyak 70 botol cecair pembasmi kuman yang diserahkan oleh Pengurus Pitsop.bn, Haji Mohammad Ammerolbahrynee bin Haji Awang Abdul Hamid.
Hadir menerima kedua-dua sumbangan tersebut ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisham bin Haji Masri.
Turut hadir menyaksikan penyampaian sumbangan tersebut ialah pegawai dan kakitangan dari Jabatan Hal Ehwal Masjid.
Dengan adanya usaha seumpamanya dan kerjasama daripada semua pihak, wabak COVID-19 ini diharap akan dapat ditangani dengan segera.
