VIENNA, 1 OKT – Biasanya, trem Vienna boleh dilihat meluncur melintasi istana Baroque, namun pada musim sejuk ini, salah satunya akan memegang peranan baharu, iaitu membantu penduduk Vienna mendapatkan vaksin selesema bermusim.
‘Trem vaksin’ dilancarkan hari ini sebagai sebahagian daripada kempen yang diumumkan oleh bandar untuk menyediakan pemvaksinan percuma kepada penduduk dan dengan itu mengurangkan sebarang tekanan ke atas hospital dari pesakit koronavirus.
Penduduk Vienna digesa sama ada mendaftar untuk mendapatkan satu slot di trem atau mengunjungi salah satu daripada beberapa pusat kesihatan dan kira-kira 600 pejabat doktor di mana vaksin akan diberikan.
“Kami fikir kami boleh menambah tiga kali ganda kadar pemvaksinan pada tahun ini dan kami berharap dapat mendorong ramai penduduk Vienna untuk mendapatkan suntikan vaksin,” kata Michael Ludwig, datuk bandar Vienna, pada satu acara ketika melancarkan trem.
Beliau menambah bandar itu telah memperoleh 400,000 vaksin, cukup untuk merangkumi kira-kira 25 peratus daripada penduduk.
“Tujuannya adalah mendapatkan seberapa ramai penduduk Vienna menerima pemvaksinan, supaya kapasiti dalam hospital masih bebas disebabkan kami tidak tahu situasi musim sejuk ini’ dari segi jangkitan koronavirus, kata Ludwig. – AFP
