FUKUOKA – Matt Cooper tidak dapat membayangkan risiko terjun dari platform 27 meter sekitar 90 kaki, atau setinggi bangunan sembilan tingkat ke dalam laut, tasik atau kolam renang.
“Walaupun terjun dengan baik, impak yang awda alami dari ketinggian 27 meter adalah seperti kemalangan kereta dengan kelajuan 85 kilometer sejam,” kata Cooper, yang sedang bersiap sedia untuk pertandingan terjun tinggi baru-baru ini di Kejohanan Akuatik Dunia di barat daya Jepun.
Cooper telah mengalami kecederaan yang serius.
Tumit kirinya cedera ketika terjun ke dalam kolam yang cetek di Australia. Sekarang, tumitnya disambungkan dengan plat logam, skru dan rod.
Di Switzerland, dia diselamatkan oleh penyelam skuba yang menariknya dari danau ketika dia tidak sedarkan diri selepas melakukan terjunan dengan posisi yang tidak betul.




“Saya pada dasarnya mendarat pada dada dan dagu saya, terkena tumbukan sendiri,” kata warga Amerika itu. “Saya tidak sedarkan diri dengan serta-merta. Tetapi saya masih ingat berfikir ‘Oh, itu tidak terasa menyenangkan.’”
Isterinya yang berbangsa Belanda, Ginni van Katwijk, juga seorang pe-nerjun tinggi yang bertanding bulan lalu di Jepun, turut mempunyai sejarah sendiri.
Ligamen di siku kirinya terkoyak semasa melakukan aktiviti memanaskan badan dan memerlukan pembedahan Tommy John, prosedur yang biasanya dikhaskan untuk pemain besbol. Atau pada hari dia berlatih terjunan baharu, tetapi gagal melakukan terjunan yang sempurna.
“Saya mengalami lebam di mata, dagu dan di lengan saya,” katanya. “Tetapi saya terpaksa melakukan terjunan tersebut kerana saya tidak mahu trauma dengan terjunan itu.”
Jadi mengapa mereka melakukan aksi yang berbahaya ini, seakan ‘bermain’ dengan kematian, dan boleh mengancam ketidakupayaan? Lelaki dalam pertandingan terjun dari 27 meter dan wanita dari 20. Mereka mendarat dengan kaki terlebih dahulu. Jika mereka terjun dengan kepala dahulu, bahu, kepala dan leher boleh cedera akibat hentakan tersebut.
“Terdapat sesuatu dalam terjunan tinggi yang awda tidak boleh dapatkan di mana-mana tempat lain di dunia, dan itulah adrenalin,” kata Matt. “Ia sesuatu yang tidak ada penawarnya di dunia ini kepada awda.”
Matt mengakui bahawa ibu bapanya tidak tidur lena kerana anak lelaki dan menantu mereka mempertaruhkan nasib.
“Mereka memberi sokongan tetapi mereka benar-benar tidak menyukai apa yang kami lakukan,” kata Matt mengenai ibu bapanya, Bill dan Nancy Cooper.
Ginni sambil tertawa, berkata, “Saya pasti mereka menyalahkan saya.”
Matt berkata bapanya sedang menonton televisyen apabila dia ditarik keluar dari air tanpa sedar di Switzerland.
“Dia mungkin pergi berjalan kaki selama lima jam kerana dia sangat tertekan,” kata Matt. “Jadi ibu bapa saya sedang menghitung hari bila kami akan berhenti.”
Sudah tentu ia kelihatan berbahaya. Tetapi bunyinya juga menakutkan apabila penerjun mendarat di air dari ketinggian melampau. Bunyi kuat pada hentaman menyerupai tembakan daripada senjata berkaliber besar.
“Saya harap mereka mempunyai insurans yang baik,” kata Yuko Matsuda, yang membantu mengendalikan tempat terjunan.
Matt mempunyai reaksi yang sama seperti kebanyakan orang apabila dia mula-mula melihat ke atas platform atau, lebih teruk lagi, apabila dia berdiri di sana dan melihat ke bawah.
“Saya naik pada mulanya dan berkata tidak mungkin. Saya hanya akan berpegang pada platform 10 meter biasa, yang kebanyakan orang fikir sudah cukup tinggi.”
Terjun memberikan sumber pendapatan dan ia lebih daripada cukup.
Selama beberapa tahun, kedua-duanya telah bekerja dengan Royal Caribbean Cruises sebagai penghibur istimewa dalam pertunjukan air di kapal. Mereka bertemu sebagai penerjun kolej, Ginni di Universiti Houston dan Matt di Universiti Texas di Austin dan menyertai rancangan itu atas cada-ngan seorang rakan.
“Selepas hanya lapan bulan bersama, kami mendapatkan sebuah kabin untuk pasangan di atas kapal,” kata Ginni. “Jika awda boleh bertahan tinggal dalam kabin selama 11 bulan, awda boleh menghadapi dunia.”
Dengan perbelanjaan yang dibayar di atas kapal, Ginni berkata mereka boleh menyimpan gaji mereka untuk membeli rumah apabila kerjaya mereka berakhir. Sebuah rumah besar.
“Selain itu, kami belum bersedia untuk pekerjaan sebenar,” tambah Ginni. – AP

