Terkejut melihat kereta dimamah api

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JBP

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JAN – Seorang warga tempatan terkejut apabila keretanya terbakar dalam kejadian yang berlaku di Kampung Sibut, Daerah Temburong, petang kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Cawangan Operasi G, Daerah Temburong, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, hari ini, panggilan mengenai kejadian itu diterima pada jam 1:15 petang dan sebuah jentera bersama empat anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Rataie yang diketuai oleh ABK 1143 Gromikal dikerahkan ke tempat kejadian.

Kenyataan menyatakan bahawa apabila anggota bomba dan penyelamat tiba di lokasi tersebut, mereka mendapati api marak sudah pun membakar keseluruhan bahagian dalam kereta salon terbabit.

Anggota bomba dan penyelamat kemudian dengan pantas memadamkan api menggunakan 1 jet hos reel dari jentera LP/2 dengan air diperoleh dari jentera bomba dan api dapat dikawal dalam masa dua minit.

Pemilik kereta berkenaan dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Anggota bomba dan penyelamat memadamkan kebakaran kenderaan yang berlaku di Kampung Sibut, Daerah Temburong, kelmarin.

Kenyataan menyatakan bahawa punca api dipercayai daripada litar pintas di bahagian pendawaian penghawa dingin dan anggaran kerugian kira-kira $10,000.

JBP dalam kenyataan itu lagi, menyarankan orang ramai untuk sentiasa memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik dan selamat secara keseluruhan sebelum digunakan seperti memastikan kesemua sistem pendawaian dalam keadaan sempurna dan pastikan tidak ada sebarang kerosakan dan penyambungan hendaklah dalam keadaan kencang.

Mereka juga disarankan untuk sentiasa memastikan mana-mana pengubahsuaian atau penambahan sistem elektrik enjin dan aksesori kereta serta pendawaian hendaklah mengikut piawaian yang betul oleh mekanik yang bertauliah kerana arus elektrik kenderaan yang tinggi
boleh menyebabkan kabel terbakar dan kebakaran berlaku.

Di samping itu, pengguna jalan raya juga disarankan untuk sentiasa berhati-hati serta mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya seperti arahan papan tanda keselamatan dan lampu isyarat, memberi tumpuan dan berwaspada ketika memandu, menggunakan tali pinggang keselamatan semasa memandu, peka dan awas terhadap perubahan alam sekeliling seperti hujan, jalan licin dan penglihatan terhad terutama semasa waktu malam.

Mereka turut disarankan untuk mengamalkan sikap bertolak ansur sesama pengguna jalan raya bagi mengelakkan berlakunya kemalangan.

Jika berlaku sebarang insiden kecemasan, mereka hendaklah menghubungi terus ke Pusat Gerakan JBP di talian, 995 dan memberikan maklumat yang tepat.