PARIS, 31 Okt – Prestasi kurang menjadi Kylian Mbappe mungkin akan menyebabkannya digugurkan dalam pertembungan Liga Juara-Juara antara Paris Saint-Germain dengan Anderlecht awal pagi Rabu ini, apabila kelab Perancis itu dilihat memastikan tempat mereka dalam pusingan 16 terakhir.
Lonjakan Mbappe di dunia bola sepak elit sangat mendadak tetapi penyerang Perancis itu, yang masih berusia 18 tahun, kini mengharungi tempoh sukar kerjayanya yang masih baru.
Selepas menerajui laluan Monaco kepada gelaran Ligue 1 dan separuh akhir Liga Juara-Juara musim lepas, Mbappe telah menyertai PSG pada bulan Ogos dengan perjanjian awal secara pinjaman yang akan menjadi kekal dengan harga 180 juta euro tahun depan.
Ia akan menjadikan Mbappe sebagai pemain kedua termahal dalam sejarah di belakang rakan sepasukan PSG, Neymar, tetapi persembahannya baru-baru ini menyatakan tumpuan media mula menghantuinya.
“Dia dalam keadaan baik. Sejak dia tiba di sini banyak perubahan yang dilaluinya, di atas padang dan dari segi profilnya dalam media, dan dia juga masih muda jadi kadangkala saya tidak fikir ia sesuatu yang mudah,” tegas pemain tengah PSG, Adrien Rabiot.
Mbappe telah menjaringkan empat gol dalam 10 perlawanan pertamanya dengan jersi PSG, termasuk gol pembukaan dalam kemenangan 4-0 ke atas Anderlecht di Belgium dua minggu lalu.
Tetapi Sejak perlawanan itu dia hanya menerima rating 2 daripada 10 oleh harian sukan, L’Equipe atas persembahannya menentang Marseille yang berkesudahan seri 2-2 dan hambar dalam kemenangan 3-0 menentang Nice.
Angel Di Maria, yang menggantikan Neymar, bermain cemerlang dalam perlawanan itu. Neymar dijangkan kembali, tetapi Di Maria pasti berharap untuk mengekalkan tempatnya dan Mbappe jelasnya menjadi calon untuk diberikan ruang bernafas.
“Ia adalah pengalaman baru untuknya,” kata jurulatih Unai Emery kepada wartawan di Parc des Princes.
“Apabila anda bermain dengan baik, anda membuka semua akhbar dan mendengar kesemua siaran sukan yang mengatakan bahawa anda yang terbaik.
“Anda perlu mengimbangi mentaliti dan emosi anda. Apabila anda bermain dengan teruk, anda perlu bersedia menerima kritikan.”
PSG membuat permulaan cemerlang dalam Kumpulan B, memenangi tiga perlawanan pembukaan mereka dengan 12 gol dan belum melepaskan sebarang gol.
Mereka akan memastikan kelayakan mereka dalam peringkat 16 terakhir dengan berbaki dua perlawanan jika mereka menewaskan Anderlecht dan Celtic gagal menewaskan Bayern Munich di Glasgow. – AFP