Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Terlalu awal untuk menyatakan keberkesanan vaksin COVID-19 kerana ia bergantung kepada cara badan melawan virus berkenaan dan Brunei perlu melihat pengalaman dari negara lain yang lebih awal mengambil vaksin COVID-19.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menjelaskan, pengambilan vaksin di negara ini hampir setahun dan ia terlalu awal untuk menyatakan keberkesanannya secara berpanjangan tetapi kekhuatiran itu memang ada.
Beberapa buah negara yang telah menggunakan pengambilan vaksin sudah mula mendapatkan dos booster namun perlu ingat masih banyak negara yang belum mendapatkan dos pertama dan untuk negara bagi mendapatkan dos ketiga belum lagi sampai ke tahap itu, jelas beliau semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.
Katanya lagi, dengan adanya akses kepada vaksin dan orang ramai sudah mulai yakin untuk mendapatkan vaksin yang mana kelmarin sahaja lebih 10,000 yang datang untuk mendapatkan vaksin dan jika ini dilakukan setiap hari, sebelum penghujung tahun ini, negara akan mencapai 70 peratus yang divaksinasi.
“Apa yang penting untuk semua di negara ini mendapatkan vaksin lengkap dan barulah memikirkan untuk mendapatkan dos booster,” tambahnya.