Kadang-kadang aku rasa dunia ini bergerak terlalu laju. Bangun pagi dikejar masa, ke tempat kerja dengan fikiran yang masih separuh nyawa dan malam kembali ke rumah hanya untuk tidur semula semuanya terasa seperti putaran tanpa henti. Hidup dalam dunia moden ini bukan sekadar soal bekerja keras, tapi soal bertahan dengan segala tekanan yang datang dari setiap arah. Aku terpaksa senyum walaupun penat, pura-pura kuat walaupun hampir runtuh dalam diam.
Tekanan itu datang dari banyak sudut kerja yang menuntut kesempurnaan, keluarga yang meletakkan harapan tinggi, media sosial yang membuat aku rasa hidup orang lain jauh lebih ‘teratur’ dan bahagia berbanding aku. Kadang-kadang aku rasa seperti sedang berlumba dalam maraton yang tak pernah ada garis penamat. Semua orang sibuk mahu cepat berjaya, cepat kaya, cepat dikenali dan aku terperangkap dalam perlumbaan itu walaupun aku sendiri tak pasti ke mana aku mahu pergi.
Yang paling sukar, aku tak tahu dengan siapa aku boleh jujur. Bila aku cuba luahkan, ada yang kata “sabar sajalah,” atau “orang lain pun susah juga.” Tapi itu bukan jawapan yang aku perlukan. Kadang aku cuma mahu didengar, bukan dibandingkan.
Aku mula sedar, hidup ini tak semestinya perlu sempurna. Tak mengapa kalau aku lambat berjaya, tak mengapa kalau aku sesekali rebah. Dunia moden mungkin mendesak aku untuk sentiasa ke hadapan, tapi aku juga berhak berhenti sejenak untuk tarik nafas dan tenangkan jiwa. Mungkin, dalam dunia yang terlalu bising ini, ketenangan sebenar datang bila aku belajar melepaskan tekanan yang bukan milikku untuk pikul.
Ini bukan keluhan semata. Ini pengakuan jujur dari seseorang yang sedang cuba untuk bertahan, cuba menerima dan cuba mencari erti bahagia di sebalik segala kepenatan yang dunia ini hadiahkan.
Fikri

NASIHAT DANG MP
Fikri, apa yang awda luahkan adalah suara ramai yang terpendam dalam diam.
Dalam dunia yang bergerak terlalu pantas, ramai di antara kita yang terperangkap dalam rutin tanpa henti, bangun, bekerja, pulang, tidur dan kemudian ulang semula seolah-olah hidup hanya tentang memenuhi tuntutan tanpa ruang untuk bernafas.
Tekanan datang bukan sahaja dari luar, tetapi juga dari dalam, apabila kita merasa tidak cukup, tidak pantas, tidak berjaya seperti orang lain.
Benarlah apa yang Fikri perlukan bukan nasihat ringkas atau perbandingan, tetapi sekadar seseorang yang sudi mendengar, memahami tanpa menghukum atau menilai. Tidak salah untuk melambatkan langkah. Tidak salah untuk berehat, berhenti sebentar dari perlumbaan yang mungkin bukan milik awda pun sejak awal.
Nikmatilah hari yang tenang dan indah dengan melihat kepada langit biru, kehijauan alam dengan mendengar bunyi burung berkicauan.
Atau nikmatilah hangatnya secawan kopi atau teh semasa sarapan pagi. Ambillah masa yang Fikri perlukan untuk selesaikan tugas satu demi satu tanpa perlu berlumba yang akhirnya membuatkan kita lelah kepenatan.
Teruskan mencari ruang untuk diri sendiri, walau kecil sekalipun. Bahagia bukan destinasi yang dikejar orang lain, tapi ketenangan yang dirasai dari dalam.









