Tuesday, April 1, 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Terlanggar puntianak pada waktu ‘hari kuning’

    Oleh Nora – 

    Kisah ini terjadi kepada kami sekeluarga ketika hendak pulang selepas jemputan makan-makan sebelah keluarga saya di Kampung Katok.

    Memang betullah kata orang tua-tua, jangan keluar sewaktu hari kuning. Hari kuning tu maksudnya awan berwarna jingga dan hampir hendak Maghrib, kerana waktu itu penuh dengan benda-benda yang tidak terlihat, di mana makhluk halus seperti puntianak, roh dan pelbagai jenis lembaga sering muncul.

    Waktu Maghrib biasa dikaitkan dengan makhluk daripada dunia ghaib mula berkeliaran seperti yang disebutkan di dalam Al-Quran.

    Oleh itu, ramai orang-orang tua kita menasihatkan agar berhati-hati dan melarang keluar pada waktu ini demi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

    Namun, pada hari tersebut, kami terpaksa pulang disebabkan ada hal yang perlu diuruskan di sebelah keluarga suami.

    Gambar Agensi

    Sebaik saja kami tiba di rumah ipar, tiada apa yang ganjil berlaku kepada kami sehinggalah ipar kami mengadu telah diganggu ‘sesuatu’ semasa sedang menonton bola di ruang tamu.

    Kami tidak begitu mengendahkan apa yang disuarakannya kerana kami tahu dia jenis yang mudah ‘peliatan’.

    Menurutnya semasa menonton bola, dia terasa seperti ada seseorang yang memerhatikannya.

    Tanpa dia sedari, bayangan itu semakin dekat dan semakin nyata. Dia cuba berpaling, tetapi tidak ada sesiapa di belakangnya.

    Sementara itu, di bilik air, suamiku yang hendak mandi telah membiarkan air paip terbuka dan masuk kembali ke bilik untuk mengambil tuala.

    Setelah kembali semula ke bilik air, dia terkejut paip yang dibukanya tadi sudah ditutup.

    Lalu dia pun bertanya, adakah aku yang menutup paip tadi. Aku jawab inda dan tidak terfikir yang bukan-bukan kerana sibuk menguruskan anak ketika itu.

    Rupa-rupanya itulah permulaan petanda yang kami telah terkena gangguan pelik.

    Malangnya, perkara aneh itu tidak berhenti di situ. Malam itu juga, kami merasakan sesuatu gangguan tidak tenang dan kami berdua tidak dapat tidur.

    Keesokan paginya, iparku membuka cerita dan mengadu tidak dapat melelapkan mata serta mengalami seperti ada bayangan yang bergerak di dinding.

    Dia seakan-akan ternampak bayangan sesuatu sosok berdiri di sudut bilik. Wajahnya pucat dan matanya kosong, seolah-olah mencari sesuatu.

    Kami pun sepakat untuk memanggil ‘orang pandai’ bagi merukyah rumah tersebut.

    Menurut ‘orang pandai’, kami mungkin telah terlanggar puntianak yang sedang menggendong anaknya semasa balik waktu Maghrib, kelmarin.

    Kami terkejut dan terus beristighfar panjang. Mungkin sebab itulah, lembaga itu membalas dendam dan ikut balik ke rumah.

    Alhamdulillah, kami juga diberikan doa-doa untuk mendinding rumah agar tidak diganggu lagi.

    Sedikit pengajaran daripada kami, agar tidak keluar rumah waktu Maghrib kerana kita tidak tahu laluan makhluk ghaib berada.

    Sebagai langkah berjaga-jaga, kami lebih berhati-hati dan selalu mengingatkan diri dan keluarga untuk menjaga diri, terutamanya ketika matahari hampir terbenam. Jangan pernah mengabaikan amalan doa dan perlindungan, kerana itu adalah benteng terbaik kita daripada segala gangguan yang tidak kelihatan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda