MURFREESBORO, 9 JUN – Seekor zebra peliharaan yang terlepas dan merayau selama lebih seminggu di Tennessee sebelum tular di internet telah berjaya ditangkap kelmarin, menurut pihak berkuasa.
Zebra berkenaan yang dikenali sebagai Ed ditangkap dengan selamat selepas dikesan berada di kawasan padang rumput berhampiran sebuah kawasan perumahan di komuniti Christiana, Tennessee tengah, menurut Pejabat Sheriff Daerah Rutherford. Pihak sheriff mengesahkan bahawa pasukan udara berjaya menangkap zebra tersebut.
“Ed diterbangkan dengan helikopter dan dihantar ke treler haiwan yang sedang menunggu,” menurut kenyataan pejabat sheriff.
Video yang dikongsikan oleh pejabat tersebut menunjukkan Ed dibalut dalam jaring dengan kepalanya terkeluar, sebelum dibawa menggunakan helikopter ke treler berkenaan. – AP
