Abang kepada penyanyi, Stacy iaitu Chaq, 35, meninggal dunia di Hospital Sibu, Sarawak pada pukul 3:20 pagi Isnin.
Berita sedih tersebut dikongsi sendiri oleh adik lelakinya iaitu Aldrich yang berada di hospital ketika mendiang menghembuskan nafas terakhir.
“Iya abang saya sudah meninggal dunia di hospital pada pukul 3:20 pagi Isnin.
“Saya, ibu dan seorang lagi abang kami ada di hospital ketika mendiang meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi mStar.
Dalam pada itu, Aldrich berkata, ketika ini pihak keluarga sedang menguruskan proses untuk membawa pulang mendiang ke Penampang, Sabah dan dijangka dikebumikan pada Rabu.

“Kami tidak dapat mencari penerbangan hari ini (Selasa). Jadi terpaksa tunggu sehari lagi.
“Stacy pula akan terus pulang dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sabah nanti,” ujarnya.
Chaq atau Camellus Dellli Anam menghembuskan nafas terakhir selepas 10 hari dimasukkan ke hospital akibat kemalangan jalan raya.
Akibat kemalangan tersebut, Chaq mengalami kecederaan pada beberapa bahagian organ termasuk jantung, hati dan limpa selain berlaku pendarahan dalam sehingga dia perlu ditidurkan.
Pihak keluarga memaklumkan sebelum ini, Chaq sudah menjalani pembedahan namun terpaksa bertarung nyawa akibat kecederaan teruk.
Chaq sebelum ini pernah menyertai program Mentor 3 di bawah bimbingan penyanyi dan komposer Ajai. – Agensi