Gambar Ihsan Pusat Sejarah Brunei,
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan
KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam diputerakan pada hari Isnin 15 Sya’aban 1365 bersamaan 15 Julai 1946 di Istana Darussalam, Kampung Sumbiling ketika Brunei diperintah oleh Pemerintahan Tentera Berikat (BMA).
Istana tersebut didirikan oleh paduka ayahanda Baginda (Pengiran Muda ‘Omar Ali Saifuddien) sebaik sahaja pendudukan Jepun di Brunei berakhir. Istana asal adalah bertiangkan nibung, berlantaikan kajang dan beratapkan daun, manakala bilik peraduannya berlantaikan papan.
Setelah paduka ayahanda Baginda ditabalkan menjadi Sultan menggantikan Paduka kakanda Baginda, Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin Akhazul Khairi Waddien pada 6 Jun 1950, Istana Darussalam yang lebih kukuh telah didirikan di tempat yang sama sebagaimana yang ada sekarang.
Keadaan Brunei sewaktu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah diputerakan adalah serba kekurangan, kesan daripada pendudukan tentera Jepun selama lebih tiga tahun. Bagaimanapun kesusahan ini adalah salah satu faktor yang telah menjadi inspirasi dan pengajaran kepada Baginda untuk mempersiapkan diri memimpin rakyat ke arah pembangunan dan kemajuan.
Semenjak kecil lagi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah menunjukkan pekerti terpuji dan digambarkan oleh guru-guru Baginda sebagai seorang putera yang peramah, mesra dan berhati mulia.



Pendidikan awal
Baginda mendapat pendidikan awal secara tuisyen persendirian di istana dan pada 1955, Baginda meneruskan pendidikan di Sekolah Melayu Sultan Muhammad Jamalul Alam (SM SMJA), Bandar Brunei, kemudian ke Victoria Institution, Kuala Lumpur dan Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (Maktab SOAS), Bandar Brunei.
Pada 14 Ogos 1961, Baginda telah ditabalkan menjadi Duli Pengiran Muda Mahkota. Semasa menuntut di Victoria Institution (VI) Baginda menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik dan kesukanan.
Pengetua VI ketika itu, V. Murugasu menyifatkan Baginda sebagai seorang pelajar yang pintar, amat menggemari bidang sukan serta mewakili sekolah dalam sukan ragbi dan bola sepak.
Baginda juga turut aktif dalam pasukan kadet sekolah serta memperoleh pangkat Lens Korporal. Malah dikatakan, Baginda tidak pernah sekali pun, terlepas latihan kawad. Selain itu Baginda juga mewakili VI dalam pasukan debat.
Mesra dalam pergaulan
Menurut V. Murugasu, walaupun sebagai seorang Pengiran Muda Mahkota, Baginda sentiasa bersikap sederhana dan mesra dalam pergaulan dengan pelajar-pelajar lain tanpa mengira kedudukan status sosial Baginda.
“Baginda adalah seorang pelajar contoh dan sangat dihormati oleh pelajar-pelajar yang lain. Baginda juga sangat bersopan santun terhadap guru-guru dan pegawai-pegawai sekolah,” kata V. Murugasu.
Semasa menuntut di VI juga, Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah (dianugerahkan) sebagai Kadet Terbaik. Baginda melanjutkan pelajaran ke Maktab SOAS, Bandar Brunei pada 1964 dan seterusnya dihantar ke Sandhurst Royal Military Academy pada 4 Januari 1966 hingga 1967. Semasa di Sandhurst, selain menjalani latihan ketenteraan, Baginda turut mengambil pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik, Sains Ketenteraan, Falsafah dan Komunikasi. Dalam pengajian antarabangsa, Baginda mengkhususkan kepada Soviet Union.
Semasa di Sandhurst juga, Baginda bersama paduka adinda Baginda, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Mohamed Bolkiah telah dianugerahkan Tauliah Kehormat oleh Baginda Ratu Elizabeth, ke dalam rejimen Household Brigade. Pentauliahan tersebut adalah sesuatu yang jarang-jarang berlaku. Baginda ditugaskan dalam Coldstream Guards manakala paduka adinda Baginda ditugaskan dalam Irish Guard.
Kebajikan dan kesejahteraan rakyat
Semenjak kecil Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah menunjukkan minat dan keprihatinan Baginda terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Ini (diperkukuhkan) lagi dengan pemahkotaan Baginda sebagai Duli Pengiran Muda Mahkota pada 16 Ogos 1961, ketika berusia 15 tahun. Minat Baginda dalam meningkatkan kebajikan rakyat, kemajuan ekonomi dan pendidikan begitu jelas sejak dahulu lagi.
Dalam titah sulung setelah ditabalkan sebagai Sultan, Baginda antara lain bertitah:
“Sa-sunggoh-nya dengan hati yang terharu dan amat2 mengejutkan Beta menguchapkan shukor ke-hadzrat Allah Subhanahu Wata’ala yang Maha Berkuasa, selawat dan salam ke-atas Nabi Muhammad s.a.w dan sahabat2-nya dan dengan hati yang ikhlas dan puteh berseh lagi hening menjunjong kaseh yang tidak terhingga kepada Paduka Ayahanda Duli Yang Maha Mulia Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, sa-sunggoh-nya walaupun hati Beta sukachita dan terharu kerana pemashhoran ini tetapi rasa sedeh menyayat di-hati atas peristiharan turun dari takhta oleh Paduka Ayahanda yang Beta kasehi dan di-sayangi oleh seluroh lapisan ra’ayat dan pendudok negeri Brunei Darus-salam yang di-chintai ini.”
Hari yang bersejarah dalam kehidupan Baginda telah berlangsung di Istana Darul Hana, Bandar Brunei pada 5 Oktober 1967 apabila Baginda ditabalkan sebagai Sultan Brunei.
Inilah detik bermulanya penampilan Baginda sebagai seorang pemimpin Negara Brunei Darussalam yang amat disanjung tinggi.