Thursday, May 9, 2024
27.5 C
Brunei

    -

    Ternak rusa Timorensis jana pendapatan

    GUA MUSANG – Seorang peneroka tidak menjadikan usia emas sebagai alasan untuk berpeluk tubuh di rumah, sebaliknya menyibukkan diri memelihara rusa baka Timorensis di rumahnya di Felda Perasu di sini.

    Malah, Md Hussain Senik, 66, boleh berbangga apabila rusa peliharaannya semakin bertambah kepada lapan ekor berbanding empat sebelum ini.

    Beliau berkata pada permulaannya, Jabatan Veterinar Gua Musang tampil memberikan bantuan empat ekor induk pada 2021.

    “Empat induk berkenaan tidak memerlukan tempoh yang lama untuk membiak dan kini saya memiliki tambahan empat ekor anak rusa pula. Rusa-rusa ini juga mudah dipelihara kerana hanya memerlukan kawasan yang luas mengikut keselesaan untuk bergerak bebas.

    “Keputusan yang saya pilih untuk memelihara haiwan ini sangat tepat kerana penjagaannya lebih mudah berbanding haiwan lain, rusa haiwan yang lasak dan tidak mudah terkena serangan penyakit,” katanya ketika ditemui pemberita di Felda Perasu di sini baru-baru ini.

    Peneroka Md Hussain Senik memberikan makan rusa baka Timorensis yang dipelihara di rumahnya di Felda Perasu. – Gambar Bernama
    JINAK… Anak rusa baka Timorensis yang dipelihara peneroka Md Hussain. – Gambar Bernama

    Beliau yang turut membahagikan masa dengan mengerjakan ladang sawit pada waktu pagi berkata ternakan rusa berkenaan ditempatkan di halaman belakang rumahnya dengan membina pagar setinggi lebih dua meter.

    “Kos makanan tidak membebankan kerana saya memberi ternakan ini dedak secara berselang-seli dengan makanan tambahan yang lain.

    “Anak saya juga membantu mencari rumput dan daun kelapa sawit sebagai antara makanan tambahan haiwan ini,” katanya yang turut membela lebih 40 ekor lembu.

    Menurutnya, beliau juga bercadang mengkomersialkan hobi itu sekiranya mendapat permintaan kerana perusahaan berkenaan dipercayai menjanjikan hasil yang lumayan.

    “Sekiranya rusa ini terus membiak dan mendapat permintaan, saya berhasrat ingin menjualnya kerana harga seekor rusa jantan boleh mencecah hingga RM3,500 setiap ekor,” katanya.

    Md Hussain berkata beliau bersyukur kerana mendapat banyak khidmat dan nasihat daripada Jabatan Veterinar termasuk membuat lawatan berkala setiap bulan ke kandang ternakannya bagi memantau tahap kesihatan rusa-rusa berkenaan. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Syarikat roti Jepun tarik balik produk berhubung penemuan badan tikus

    TOKYO, 9 MEI - Pengeluar roti dari Jepun, Pasco Shikishima Corp pada Rabu secara sukarela menarik balik kira-kira 104,000 paket jenama roti Chojuku selepas...