PERANCIS – Stephane Dahirel tidak pernah berkata secara terang-terangan untuk memakan ayam dan selamatkan planet, tetapi itulah bayangan yang cuba disampaikannya ketika dia membuka pintu reban di ladang ternakan ayam yang giat diusahakannya di Brittany, barat Perancis.
Kira-kira 30,000 ekor ayam di dalam reban itu dan jumlahnya akan bertambah lebih daripada tiga kali ganda dalam masa kurang daripada sebulan dan dagingnya akan menghasilkan jejak karbon yang rendah.
“Objektif kami adalah untuk menghasilkan daging terbaik dalam masa yang secepat mungkin, dengan penggunaan makanan yang sekecil mungkin,” kata Dahirel.
Kira-kira dua juta ekor ayam yang dihasilkan setiap tahun – yang sebahagian besar daripadanya adalah untuk daging nugget McDonald’s – akan mencapai berat sembelihan dalam masa kurang daripada separuh masa yang diperlukan di ladang tradisional.
Pada usia 20 hari, ayam-ayam itu sudah mempunyai berat satu kilo – 20 kali lebih berat daripada berat kelahiran. Pada usia 45 hari, apabila ia disembelih, beratnya akan melebihi tiga kilo.
Ayam mempunyai jejak karbon terendah di antara semua jenis daging haiwan, menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), iaitu kurang daripada separuh daripada dua kilogram karbon dioksida yang dihasilkan untuk satu kilogram daging khinzir dan 30 kali lebih sedikit berbanding daging lembu.
Walaupun lembu menghasilkan banyak metana yang boleh menghangatkan planet, ayam mengeluarkan amat sedikit metana. Malah, menurut FAO, kuantiti metana yang dihasilkan oleh ayam sama dengan yang dihasilkan oleh padi, atau lebih sedikit lagi jika ia diternak secara intensif.
Dahirel mendakwa bahawa penternakan intensif adalah ‘sistem yang paling cekap dan rasional’ dalam penghasilan daging ‘dari perspektif ekonomi dan ekologi’.
KESEJAHTERAAN HAIWAN
Namun, terdapat juga beberapa kelemahan besar. Walaupun dia mendakwa bahawa pelepasan karbon yang rendah untuk ayam ternakannya, penghasilan bijirin untuk memberi makan ayam memerlukan kawasan tanah yang luas, baja buatan dan racun serangga.
Semua itu mempunyai kesan terhadap biodiversiti dan kualiti air. Bahkan, berkembangnya alga hijau di pantai Brittany kelahiran Dahirel – sebahagiannya disebabkan oleh pengeluaran khinzir, unggas dan tenusu secara intensif – telah menimbulkan protes alam sekitar dan dikaitkan dengan beberapa kematian.
Penternakan intensif juga mencabar dari segi kesejahteraan haiwan.
Dahirel memelihara 20 ekor ayam setiap meter persegi, yang diletakkan di atas serbuk kayu yang menyerap najis dan kulit bunga gandum. Ayam yang sakit atau tidak normal dibunuh untuk mengelakkan penderitaan yang lebih lanjut dan kerana rumah penyembelihan automatik memerlukan produk yang homogen.
“Ayam-ayam itu bukan robot, tetapi kami mencari kehomogenan,” kata petani itu dari berandanya yang menghadap tiga reban, yang dilapisi panel solar.
Ayam mungkin merupakan sumber protein haiwan yang optimal dari segi emisi karbon, tetapi ini tidak semestinya sesuai untuk alam sekitar, kata para pakar.
“Jika kita hanya memikirkan pelepasan karbon dioksida per kilo daging, semua orang akan mula makan ayam. Tetapi jika kita berpikir bahawa itulah penyelesaiannya, ia adalah satu kesilapan besar,” kata Pierre-Marie Aubert, dari Institut Pembangunan Mampan IDDRI Perancis.
“Jika awda hanya memikirkan karbon, banyak perkara akan kembali kepada kita pada masa panjang,” tambahnya.
Aubert berkata bahawa telah berlaku peningkatan yang ‘tidak masuk akal’ dalam pengambilan ayam dalam beberapa tahun terakhir, menjadikannya salah satu daging yang paling banyak dikonsumsi di seluruh dunia, tanpa tabu agama dan budaya yang berkaitan dengan khinzir dan lembu.
Dunia telah begitu menumpukan kepada emisi metana daripada ruminan seperti lembu dan kambing “sehingga ramai orang menganggap penggantian daging lembu dengan ayam sudah mencukupi, tetapi sebenarnya, kita perlu mengurangkan semua konsumsi daging,” kata Lucile Rogissart, dari Institut Ekonomi Iklim (I4CE). – AFP