Saturday, March 15, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ternampak ‘orang tinggi’ di kawasan perumahan

    Oleh Ngian –

    Kisah ini diceritakan oleh salah seorang penduduk yang tinggal di kawasan Mengkubau.
    Menurutnya kejadian itu berlaku ketika dia memandu pulang ke rumahnya setelah menyelesaikan kerja lewat malam.

    Saleh memandu menuju ke rumahnya namun malam itu terasa sunyi sepi, jalan lenggang, tidak seperti biasanya ada sebuah dua kereta melintas dan tidak ada orang lepak-lepak di luar rumah.

    Jarum jam di dashboard keretanya menunjukkan hampir pukul 1 pagi.

    Ketika dia membelok memasuki jalan kecil menuju ke rumah, tiba-tiba bulu romanya meremang. Dia terasa seperti sedang diperhatikan.

    Dan saat itulah, menerusi cahaya lampu keretanya yang samar-samar, nun jauh di hadapannya, dia ternampak sesuatu seperti kaki yang berdiri di tengah jalan.

    Gambar Agensi

    Sosok yang luar biasa tinggi.

    Saleh menekan brek sedikit, tidak mahu terlalu laju tetapi juga tidak mahu berhenti. Matanya hanya fokus pada kaki makhluk itu yang menjulang tinggi, lebih tinggi daripada pokok nipah, sehingga tidak nampak badan dan kepala.

    Dia tidak berani mendongak lebih.

    Kata orang-orang tua, siapa yang melihat wajah makhluk ini akan menjadi gila atau kepalanya akan sentiasa mendongak.

    Saleh menggenggam stereng dengan kuat, cuba mengawal diri. Tangan dan kakinya sudah sejuk, tetapi dia tetap memandu perlahan, namun kemudian dia nekad memecut laju tanpa menoleh langsung.

    Enjin meraung, tayar bergeser dengan jalan. Dia hanya mahu segera sampai ke rumahnya.

    Tiba di simpang masuk rumahnya, dia menekan brek secara mengejut, hampir terbabas ke bahu jalan. Dengan jantung berdegup kencang, dia membuka pintu dan berlari masuk ke dalam rumah tanpa menoleh.

    Saat pintu rumah ditutup dan dikunci rapat, dia terduduk di lantai, tapi untuk memastikan apa yang dilihatnya itu nyata dan benar, dia mengintip dari celahan tingkap. Kosong. Sunyi.

    Tiada apa-apa dan terus bertanyakan dirinya, apakah benar apa yang dilihatnya itu?

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda