Oleh Gzul –
Haji Johar merupakan seorang pekerja di sebuah syarikat eksekutif dan sering pulang lewat malam kerana syif kerja dan tugasan yang banyak.
Malam itu, seperti biasa, dia memandu pulang ke rumah melalui lebuh raya Mentiri. Hanya lampu jalan yang malap menemani perjalanannya yang sunyi.
Suasana di jalan raya tersebut nampak suram dan tidak seperti malam-malam biasanya yang masih ada beberapa buah kenderaan yang melintas.
Ketika Haji Johar memandu turun ke bawah bukit yang terkenal dengan kisah seram, dia merasakan sesuatu yang aneh.
Tiba-tiba, dia teringat akan nasihat seorang rakan lamanya yang pernah berkongsi cerita seram tentang Lebuh Raya Mentiri.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P16-2A-NEW-ChatGPT_08022025.jpg)
Katanya, ada sebuah tempat di situ yang menjadi lokasi ‘pertemuan’ dengan makhluk-makhluk halus.
“Kalau kau lewat malam, jangan tengok sekeliling. Jangan berhenti. Jangan bagi mereka peluang untuk mengganggu,” kata rakannya itu.
Tidak semena-mena, bulu romanya meremang dan udara di dalam keretanya terasa semakin dingin. Haji Johar kemudian memperlahankan kenderaannya setelah melihat ada sesuatu kelibat di tepi jalan raya.
Setelah semakin dekat dengan kelibat tersebut, Haji Johar langsung beristighfar dan terkejut setelah sosok seperti manusia itu tidak mempunyai kepala!
Pakaian lusuhnya beralun ditiup angin dan dari tempat sepatutnya kepala berada, hanya asap hitam berkepul-kepul.
Jantung Haji Johar berdegup kencang. Dia menekan pedal minyak, cuba meninggalkan tempat itu secepat mungkin.
Namun, dalam cermin pandang belakang, sosok tanpa kepala itu kini berdiri di tengah jalan, seolah-olah memerhatikannya dengan mata yang tidak kelihatan.
Haji Johar tidak berani menoleh lagi. Dia memecut laju sehingga sampai ke rumah.
Nafasnya tercungap-cungap, tangan menggigil ketika membuka pintu.
Sejak malam itu, jika dia syif malam, dia tidak akan melalui lebuh raya Mentiri seorang diri.
Kisah itu menjadi mimpi ngeri yang menghantuinya setiap kali dia memandu sendirian dalam kegelapan malam.