Oleh Nurdiyanah R.
TUTONG, 25 Okt – Dengan matlamat untuk menerokai destinasi pelancongan di Negara Brunei Darussalam, seramai 23 orang pelajar Kolej Perdagangan Laksamana (LCB) telah mengadakan lawatan sambil belajar ke tempat-tempat menarik di Daerah Tutong, baru-baru ini.
Lawatan yang disertai oleh pelajar dalam jurusan Jurupandu Pelancongan itu dimulakan dengan aktiviti menero-kai Rumah Budaya Etnik dan Masyarakat Daerah Tutong di Sungai Basong yang antara-nya mengetengahkan rumah-rumah budaya Puak Tutong, Kedayan, Dusun, Iban dan juga Tiong Hua.
Seterusnya rombongan mengunjungi Galeri 1 Kampung 1 Produk (1K1P) di Jabatan Daerah Tutong di mana para pelajar berpeluang mengenali hasil produk dan kraf tangan kampung dan mukim di Daerah Tutong.
Manakala taklimat ringkas mengenainya telah disampaikan oleh salah seorang ahli Badan Penyelaras dan Pelancongan Daerah Tutong, Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan.
Kemudian lawatan diteruskan ke Lakaba Jaya di Kampung Sengkarai di mana mereka berkesempatan menyaksikan proses pembuatan coklat dan kraf tangan tempatan yang penuh kreativiti.
Lawatan diakhiri di Taman Lebah Kelulut, Tasbee Meliponiculture Farm, Sungai Kelugos di mana rombongan berpeluang untuk mengikuti aktiviti menuai madu kelulut secara tradisional.
Dengan adanya lawatan berkenaan ia diharap akan dapat menambah ilmu dan membuka minda para pelajar dalam bidang pelancongan yang sekali gus bermatlamat sebagai bekalan sebelum menceburi dunia pekerjaan yang sebenar nanti.
