Oleh Adib Noor
IPOH, PERAK – Melancong sudah lama menjadi minat saya untuk meneroka perkara yang belum diketahui dan mengalami pengalaman baharu.
Baru-baru ini, saya cukup bernasib baik dapat menyertai lawatan pengenalan yang diaturkan oleh Tourism Malaysia, membolehkan saya menerokai Ipoh dan Pulau Pinang – dua destinasi yang selalu saya dengar tetapi belum pernah benar-benar alami.
Bagi kebanyakan orang Brunei, melancong ke Malaysia lazimnya bermaksud perjalanan ke Miri atau Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun, Malaysia adalah sebuah negara yang luas dengan khazanah yang tidak terkira banyaknya menunggu untuk ditemui dan Ipoh sudah pasti adalah salah satu daripadanya.
Sejak saat saya menjejakkan kaki di Ipoh, saya dapat merasai bahawa ia akan menjadi pengalaman yang sangat menyeronokkan.
TEROKA WARISAN IPOH
Sebagai ibu negeri Perak, Ipoh terletak di utara Semenanjung Malaysia, kira-kira 200 kilometer di utara Kuala Lumpur dan 130 kilometer di tenggara Pulau Pinang.
Pernah dikenali sebagai ‘Bandar Jutawan’ kerana industri perlombongan bijih timah yang berkembang pesat pada akhir abad ke-19, Ipoh kini menjadi tempat pelancongan menarik yang kaya dengan sejarah dan warisan budaya. Seni binanya menggabungkan keanggunan zaman kolonial, pengaruh tradisional Cina dan unsur kontemporari.
Antara mercu tanda yang mesti dilawati ialah Dewan Bandaraya Ipoh dan Pejabat Pos Lama, yang dibina pada tahun 1916. Bangunan yang mengagumkan ini melambangkan seni bina kolonial dengan fasad yang besar dan dewan yang luas, yang terus menjadi lokasi penganjuran acara rasmi dan persembahan kebudayaan.
TEMPAT ISTIRAHAT YANG INDAH
Terletak di tengah-tengah bukit batu kapur, Tasik Cermin merupakan satu lagi permata tersembunyi di Ipoh, yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi yang menakjubkan dan suasana yang menenangkan.
Air tasik yang jernih memantulkan imej tebing batu kapur di sekeliling dan dedaunan yang subur menghijau, menawarkan tempat istirahat yang tenang dari kesibukan bandar. Dikelilingi oleh pembentukan kars yang dramatik, ia menyediakan tempat percutian yang indah dan mencabar.
Untuk sampai ke Tasik Cermin, awda perlu melalui terowong di kuari batu kapur, yang menambahkan unsur misteri dan keseronokan kepada pengalaman itu. Bagi pengembaraan yang lebih menarik, pertimbangkan untuk melawat Tasik Cermin 2, di mana awda boleh menikmati perjalanan menaiki bot melalui satu lagi persekitaran semula jadi yang menakjubkan.
Pastikan awda membawa kamera, kerana air tasik yang memantulkan cahaya dan persekitaran yang menakjubkan menjadikannya tempat kegemaran jurugambar. Kesan cermin yang unik memberikan peluang yang menakjubkan untuk mengambil gambar kenangan yang tidak dapat dilupakan.
KOPI PUTIH
Tahukah awda bahawa Ipoh juga terkenal sebagai syurga makanan dan minuman? Ia terkenal dengan masakan tempatan terutamanya kopi putih.
Semasa lawatan, kami berpeluang menerokai kepakaran tempatan ini di Kin Loong Valley White Coffee, sebuah kafe yang terletak berhampiran gua-gua di sekitar Tasik Cermin.
Kopi putih, minuman tradisional Malaysia dari Ipoh, terkenal dengan kaedah pemanggangannya yang unik menggunakan marjerin minyak kelapa sawit. Pemanggangan yang lebih ringan ini menghasilkan rasa yang lebih lembut dan berkrim. Perintis White Coffee, Kong Kin Loong merupakan individu yang mempopularkan gaya ini, dan kedai kopinya, yang dinamakan sempena namanya, tetap menjadi bahagian penting dalam budaya kopi Ipoh.
Pengunjung boleh menikmati secawan kopi putih bersama hidangan tempatan seperti roti bakar kaya dan telur rebus di sana. Selain itu, kedai berdekatan menawarkan kopi putih segera yang tulen, menjadikannya cenderahati atau hadiah yang sesuai untuk rakan-rakan.
LEGASI KAPAL KOREK TIMAH
Untuk melihat sekilas tentang sejarah perindustrian Malaysia, lawati Kapal Korek Timah Tanjung Tualang No 5 (TT5), kapal korek bijih timah terakhir yang masih wujud di negara itu. Dibina di England pada 1938 oleh FW Payne & Sons, TT5 beroperasi di Tanjung Tualang sehingga 1982, melombong bijih timah dari Lembah Kinta.
Kini dijadikan sebagai sebuah muzium warisan, ia menawarkan lawatan berpandu yang mempamerkan jentera kapal korek dan industri perlombongan bijih timah bersejarah yang penting kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia. Terokai peninggalan yang luar biasa ini dan pelajari tentang peranannya yang signifikan dalam pembangunan negara itu.
PENGEMBARAAN MENANTI
Satu lagi lokasi yang patut diberikan perhatian ialah Escape Ipoh, sebuah taman pengembaraan baharu di negeri ini, yang pastinya menjadi destinasi yang wajib dikunjungi bagi mereka yang mencari keseronokan.
Digelar sebagai ‘taman permainan luar yang besar untuk orang dewasa’, ia menawarkan aktiviti zipline gelongsor air, zon percikan dan laluan berhalangan, semuanya dalam persekitaran yang mampan dan mesra alam. Pengunjung juga boleh berkhemah di tempat ini, menjadikannya pilihan popular untuk penduduk tempatan dan pelancong yang mencari keseronokan dan pengembaraan luar.
HIDANGAN WAJIB CUBA
Akhir sekali, kunjungan ke Ipoh tidak lengkap tanpa merasai keenakan kulinarinya. Nasi Ayam Hainan, yang dihidangkan di sebuah kedai terkenal berusia 16 tahun di bandar lama, adalah makanan yang wajib dicuba. Perintis dalam nasi ayam yang disahkan halal ini menawarkan pelbagai hidangan dalam suasana kasual ala kopitiam, menjamin hidangan yang memuaskan bagi semua pengunjung.
Perjalanan saya ke Ipoh sungguh mempesonakan. Dengan seni bina bersejarah yang menawan, landskap semula jadi yang tenang dan pengalaman kulinari yang menarik, Ipoh menawarkan sesuatu untuk setiap pengembara. Saya tidak sabar-sabar menantikan peluang untuk kembali dan menemui lebih banyak lagi keajaiban yang belum kelihatan di sana.