Monday, January 13, 2025
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Teroka keunikan kopi jacu Brazil

    BRAZIL – Di Brazil, perumpamaan ‘angsa bertelur emas’ sebenarnya lebih mirip kepada seekor burung pegar yang membuang biji kopi.

    Di ladang kopi Camocim, yang jauh di bukit-bukit kawasan pedalaman yang indah di negeri Espirito Santo di tenggara Brazil, jacu iaitu sejenis burung pegar asli dari hutan tropika di sana yang dianggap sebagai pemetik biji kopi yang paling bijak (atau lebih tepatnya, pemakan) di dunia.

    “Burung ini memilih buah yang terbaik, yang sudah masak,” kata pekerja Agnael Costa, 23, dengan penuh berhati-hati mencedok najis yang ditinggalkan oleh salah seekor burung tersebut di antara dua batang pokok.

    Ceri masak itu boleh dijadikan sebagai biji kopi, yang yang boleh dijual sebagai salah satu kopi yang paling lazat dan mahal di dunia.

    Kopi di Camocim tumbuh di tengah-tengah hutan yang subur, dan jacu di sana liar, makan (dan membuang air besar) mengikut kadarnya sendiri.

    Rogerio Lemke, penyelia di ladang kopi Camocim, berjalan melepasi kawasan di mana biji kopi dikeringkan di Domingos Martins, Brazil. – Gambar AFP
    Para pelanggan duduk di bawah lukisan burung Jacu di ladang kopi Camocim di Domingos Martins, Brazil. – Gambar AFP
    Henrique Sloper, Ketua Pegawai Eksekutif ladang kopi Camocim, bergambar di Domingos Martins, negeri Espirito Santo, Brazil. – Gambar AFP
    Seekor burung Jacu digambarkan di ladang kopi Camocim di Domingos Martins, negeri Espirito Santo, Brazil. – Gambar AFP
    Seorang pemeriksa kopi bersedia untuk menilai pelbagai jenis kopi di ladang kopi Camocim di Domingos Martins, negeri Espirito Santo, Brazil. – Gambar AFP

    “Sistem agrohutan inilah yang menjadikan suasana-suasana yang diperlukan bagi kopi eksotik ini wujud di sini,” kata pemilik ladang Henrique Sloper kepada AFP.

    Di pasaran dalam negeri, kopi jacu boleh dijual dengan harga kira-kira AS$100 satu paun, harga yang boleh meningkat dengan ketara apabila dieksport. Antara pengedar luar termasuk kedai besar Britain, Harrods dan yang lainnya.

    Jacu, dengan bulu hitam dan tekak merahnya, pada mulanya tidak dialu-alukan di ladang.

    Ia pada mulanya dianggap sebagai binatang perosak yang memakan tanaman berharga.

    Tetapi apabila Sloper menemui ‘kopi luwak,’ kopi mahal Indonesia yang diperbuat daripada biji yang terbuang oleh musang, dia merasakan jacu mungkin boleh menjadi ‘sekutu’ yang baik dalam usaha untuk membuat kopi yang lebih baik.

    Kopi luwak kadang-kadang mempunyai reputasi buruk, dengan petani dituduh memaksa musang -mamalia kecil yang serupa dengan hermelin, ke dalam kurungan untuk meningkatkan pengeluaran.

    Jacu liar di Camocim, bagaimanapun, berkeliaran, makan dan membuang air besar pada kadarnya sendiri.

    “Ini adalah 100 peratus semula jadi,” kata penyelia pengeluaran ladang Rogerio Lemke.

    Jacu berada dalam habitat semula jadinya sendiri, di Hutan Atlantik Brazil.

    Menghubungkan pengeluaran dengan selera makan jacu adalah salah satu sebab mengapa kopi itu mendapat harga yang tinggi.

    Najis jacu kelihatan seperti bar bijirin, dengan biji-bijian krem yang menonjol daripada gumpalan hitam pekat. Setelah dikumpul dan dikeringkan, biji tersebut dipilih dan dikupas dengan teliti, lalu dimasukkan ke dalam bilik sejuk.

    “Ia sememangnya mahal. Tidak ada cara untuk membuat kopi jacu dengan kos yang rendah,” kata Sloper.

    Secara keseluruhan, kopi jacu hanya menyumbang kurang daripada dua peratus pengeluaran ladang.

    Burung itu juga membawa kelebihan lain, baik bagi petani dan mereka yang mencari cawan kopi yang lebih murah.

    “Ia berfungsi bukan sahaja sebagai pemilih biji kopi terbaik, tetapi juga sebagai penggera penuaian,” kata Sloper.

    “Di mana ia makan, kopi sudah masak,” ujarnya.

    Walaupun jacus membantu memilih kopi terbaik, tidak ada yang istimewa tentang sistem pencernaannya yang memberi rasa yang berbeza pada biji kopi.

    “Burung-burung ini mempunyai masa transit usus yang sangat singkat,” kata Ensei Neto, seorang pakar kopi, kepada AFP.

    “Jadi tidak ada apa-apa jenis proses biokimia, tidak ada masa yang tepat,” jelasnya.

    Proses pencernaannya jauh lebih pantas berbanding musang atau gajah – haiwan lain yang najisnya digunakan, di Thailand, untuk menghasilkan kopi istimewa.

    Ada yang berpendapat bahawa proses penapaian yang berasal dari masa pencernaan yang lebih lama oleh haiwan-haiwan itu memberikan rasa yang lebih baik pada biji kopi yang dihasilkan.

    Jacu “hanya memilih buah yang masak,” kata Neto, menghasilkan kopi dengan “mempunyai rasa yang manis, dengan keasidan yang baik.”

    “Ia tidak menambah apa-apa yang lain,” tambahnya.

    Jacus telah menemui seorang peminat kopi di Poliana Cristiana Prego, 37, iaitu seorang pelancong Brazil yang datang melawat Camocim.

    “Ini adalah kopi yang lazat dan cerita di sebalik penghasilannya sangat asli. Ini adalah pengalaman baru bagi kami,” katanya.

    “Pelanggan kami adalah pencinta produk eksotik, tetapi juga mereka yang menghargai idea pembangunan mampan,” kata Sloper.

    Baginya, ‘masa depan kopi akan datang dari Brazil,’ yang sudah menjadi pengeluar terbesar di dunia.

    Sama ada datang dari jacu atau sebaliknya, kopi Brazil “menunjukkan kepada dunia bahawa, “Kami benar-benar mampu melakukan apa yang tidak dapat dilakukan oleh sesiapa pun,” ujarnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda