Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Teroka manfaat cetakan 3D melalui bengkel

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MEI –Seramai 20 orang tenaga pengajar Sekolah Sains Kesihatan (SSK) di Politeknik Brunei (PB) bersama profesional dalam bidang kesihatan dan wakil-wakil dari sekolah lain di PB telah menyertai bengkel inovatif mengenai mengintegrasikan teknologi cetakan 3D ke dalam pendidikan, baru-baru ini.

    Diadakan di Bilik Latihan Pusat Pengajaran dan Pembelajaran Inovatif (CiTL), Aras 7, PB, bengkel sehari bertajuk Transformasi Digital Sekolah Sains Kesihatan: Menyelidiki Potensi Integrasi Teknologi Cetakan 3D bagi Peningkatan Pencapaian Pengajaran dan Pembelajaran itu telah dianjurkan oleh SSK dengan kerjasama Perpustakaan dan Pusat Pembelajaran, Sekolah ICT dan Bahagian Teknologi Maklumat antara lain bertujuan untuk meneroka bagaimana percetakan 3D merevolusikan pendidikan kesihatan.

    Ia merupakan sebahagian daripada strategi untuk mengintegrasikan teknologi canggih ke dalam kurikulum yang mencerminkan komitmen institusi terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang sedia masa depan selaras dengan Wawasan Brunei 2035, Rancangan Induk Ekonomi Digital 2025, Pelan Transformasi Digital Kementerian Pendidikan 2023-2027 dan Rancangan Pembangunan Lima Tahun PB 2021-2025.

    Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pemangku Pengetua PB, Haji Mohammad Jaafar bin Haji Johari sebelum diikuti dengan satu sesi menarik dan informatif yang dirancang untuk melengkapi para peserta dengan pengetahuan teori dan pengalaman praktikal dalam teknologi cetakan 3D.

    Fokus utama bengkel berkenaan adalah bagaimana cetakan 3D dapat memberikan manfaat bukan sahaja kepada peserta bengkel, tetapi juga kepada seluruh komuniti PB dan profesional dalam bidang kesihatan.

    Dengan mencipta model 3D yang realistik seperti organ, tulang, dan keadaan penyakit, pelajar dapat memperoleh pemahaman yang lebih mendalam tentang anatomi dan patologi manusia. Teknologi 3D juga boleh digunakan dalam bidang pergigian dan ortodontik untuk menunjukkan prosedur dan merancang rawatan yang bersesuaian.

    Selain itu, bengkel turut membincangkan sumber dan peralatan yang diperlukan untuk mengintegrasikan cetakan 3D ke dalam pendidikan dengan berkesan termasuk pendekatan penilaian untuk menguji kemahiran pelajar. Perbincangan juga merangkumi penyelenggaraan dan ketahanan peralatan cetakan 3D.

    Bengkel tersebut merupakan langkah penting ke arah transformasi digital dalam pendidikan kesihatan di PB. Dengan melengkapi tenaga pengajar dengan kepakaran dalam cetakan 3D, SSK menyasarkan untuk mempersiapkan pelajar bagi menghadapi cabaran masa depan dalam bidang kesihatan.

    Antara tenaga pengajar yang telah menyertai bengkel berkenaan. – GAMBAR SERAHAN PB
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda